KOTA KINABALU: Tiada sebarang perubahan bakal berlaku dalam pemerintahan di Sabah susulan Ahli Parlimen UMNO di negeri ini masih kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berkata, beliau masih menyokong kerajaan PN sebagaimana pendiriannya sebelum ini.
“Saya akan terus memberi sokongan kerajaan PN dan soal kedudukan Perdana Menteri itu, kita serahkan kepada Parlimen sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri pada tengah hari tadi,” katanya.
Mohamad berkata, sebelum ini UMNO sudah pernah memutuskan untuk menyokong Kerajaan PN. Jadi, dengan perkembangan terbaru hari ini berkaitan kedudukan Perdana Menteri itu serahkan kepada Dewan Rakyat pada September ini.
“Kalau saya, saya kekal dengan kenyataan saya sebelum ini bahawa saya menyokong kerajaan PN,” katanya.
Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin masih enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sokongan terhadap Kerajaan PN.
Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Yakub Khan dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin ketika dihubungi memaklumkan sebarang kenyataan hanya akan dikeluarkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.
Kedua-dua pemimpin kanan UMNO Sabah ini enggan mengeluarkan kenyataan bagi memberi laluan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO membuat kenyataan terlebih dahulu.
Semalam, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan semua pemimpin GRS sebulat suara untuk mengekalkan kerjasama bagi membolehkan GRS terus memerintah di negeri ini.
Jelas Hajiji, beliau sudah berhubung dengan semua pemimpin parti komponen GRS dan kesemua mereka sepakat dan sebulat suara bersetuju untuk terus memerintah di Sabah.
Tambahnya, mereka akan terus mendukung mandat yang diberikan kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September tahun lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas tengah hari tadi mengumumkan beliau masih kekal Perdana Menteri kerana masih menerima sokongan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.
Tambahnya, keabsahan beliau selaku Perdana Menteri akan ditentukan menerusi dalam persidangan Parlimen pada September menerusi usul undi percaya.- UTUSAN ONLINE