IPOH: Beberapa ahli Parlimen pembangkang mendakwa ditawarkan jawatan menteri dan wang sekiranya bertindak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN)>
Bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mendakwa, beliau ditawarkan jawatan sebagai menteri dan sejumlah wang dipercayai RM30 juta untuk menukar sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, tawaran yang turut melibatkan ganjaran lain itu diterima melalui aplikasi WhatsApp di telefon bimbit milik Setiausaha Sulitnya, Jeremy Chuah, semalam.
“Mesejnya yang menyebut harga durian runtuh RM30 juga dipercayai membawa maksud RM30 juta untuk saya sekiranya bersetuju dengan tawaran berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini semalam.
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, beliau yakin kesemua 42 ahli Parlimen DAP kekal setia dengan parti dan sama sekali tidak akan khianat dengan menyokong kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh juga berkongsi cetakan skrin perbualan tidak dinamakan itu di Facebooknya dengan kenyataan bertulis:
“Kami perlukan lebih ramai wakil bukan Melayu dalam kerajaan. Jawatan menteri? Dua (jawatan) dikosongkan sementara. Apa yang anda perlukan? Untuk berbakti di kawasan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) anda dengan lebih baik?,” katanya.
Bagaimanapun, Kah Woh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) enggan membalas mesej yang dihantar kepadanya dan menyekat individu tidak dikenali itu serta-merta manakala nombor telefon individu terbabit disiarkan secara jelas dalam cetakan skrin berkenaan iaitu +6011-69894798.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut berkongsi cetakan skrin serupa dan mendakwa usaha ‘membeli’ wakil rakyat sedang berjalan rancak.
“Ini sebabnya mengapa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat undi percaya bulan September. Melayu Islam tergugat? Atau kuasa pangkat dan habuan yang menjadi tujuan berjuang?,” soalnya di Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman turut menerima tawaran jawatan menteri dan menjanjikan `durian’ berkenaan akan dibayar segera secara tunai.
“Scheme of things? Adakah ini yang kita mahukan sebagai rakyat Malaysia? Nilai Yang Berhormat (YB) dan jawatan menteri setaraf durian RM30 juta? Kami bukan untuk dijual,” katanya.
Semalam Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi sehari selepas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berundur sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Kedua-dua mereka bertindak begitu sebagai mematuhi keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mengarahkan semua ahli Parlimennya menarik diri daripada Kerajaan PN.
PN diterajui Muhyiddin ketika ini berdepan dengan krisis sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat apabila UMNO berpendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan. – UTUSAN ONLINE










