Agong zahir rasa sedih pemergian PAT Ke-7 - Utusan Malaysia

Agong zahir rasa sedih pemergian PAT Ke-7

Mohd. Ghazali Mohd. Seth
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengucap takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) Ke-7, Jeneral Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth, 92, yang meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), pagi ini.

Dalam hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka dan Permaisuri turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga arwah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan juga negara,” kata kenyataan Istana Negara itu.

Jenazah Mohd. Ghazali disempurnakan di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada pukul 2.30 petang dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk dikebumikan setelah selesai solat jenazah yang dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham serta ucapan takziah kepada seluruh keluarga.

Allahyarham dilahirkan pada 4 Februari 1929 di Johor Bahru, Johor.

Arwah memulakan latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di Eaton Hall, England pada tahun 1952, malah pernah terpilih menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMA Sandhurst) sehingga 1954.

Allahyarham pernah berkhidmat dengan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah sebagai Ketua Platun dan mengetuai operasi menentang pengganas komunis di Sungai Siput, Bidor dan Alor Setar.

Mohd. Ghazali juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Tentera Malaysia (Military Attache) di Jakarta, Indonesia pada tahun 1958 dan merupakan Penasihat Tentera Malaysia termuda dan pertama ke Indonesia pada ketika itu.

Pada tahun 1977 pula, Allahyarham dilantik sebagai Panglima Tentera Darat selama lima tahun hingga tahun 1982, sebelum dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera ketujuh dari 1982 hingga 1985. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN