GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempersoalkan sama ada rancangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang diumumkan kerajaan negeri Kedah semalam menjadi satu keperluan utama pada masa ini.
Timbalan Ketua Menteri, Dr. P. Ramasamy berkata, ketika ini semua negeri berada dalam keperitan akibat pandemik Covid-19, malah kadar jangkitan dan kematian semakin meningkat setiap hari dengan tahap kesihatan dan ekonomi yang semakin merosot.
“Orang ramai menderita kerana tiada pekerjaan dan kita tidak tahu bila wabak ini akan reda dan keadaan akan kembali menjadi normal.
“Ini bukanlah masa untuk melaksanakan projek bernilai tinggi seperti KXP yang baharu terutamanya dalam keadaan tertekan dan menderita sekarang,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KXP dijangka dapat disiapkan menjelang 2026 dengan kerja fasa pertama projek bernilai RM6 bilion itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat.
Menurut Ramasamy, KXP juga bukanlah projek biasa sebaliknya menelan kos yang bernilai berbilion ringgit.
“Saya tidak mengatakan pembinaan lapangan terbang ini tidak harus dilakukan tetapi sudah tentu bukan masanya sekarang, bukan ketika rakyat menderita kerana tiada pekerjaan dan tiada makanan.
“Menteri Besar Kedah harus memandang serius kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya daripada memberi tumpuan kepada perjanjian dengan syarikat,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kedah juga bahkan tidak dapat menyelesaikan hutang bekalan airnya kepada Kerajaan Pusat.
“Ia tidak dapat memberi pekerjaan yang berfaedah kepada ribuan orang Kedah yang terpaksa mencari pekerjaan di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.
“Apakah keperluan utama untuk pembinaan lapangan terbang sekarang? Adakah ia bertujuan untuk mencabar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” katanya.
Ramasamy menambah, seperti banyak projek mewah bernilai tinggi, beliau berharap projek lapangan terbang baharu di Kedah itu tidak membebankan rakyat. – UTUSAN ONLINE










