PUTRAJAYA: Sejumlah 420,000 individu meliputi petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri agromakanan di seluruh negara bakal divaksin bermula pada 1 September depan.
Menerusi hantaran infografik dalam laman sosial Facebook rasmi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, inisiatif itu akan berlangsung selama empat bulan sehingga 30 November ini.
“Pihak kementerian telah pun menggerakkan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) yang bakal dilaksana mulai bulan depan,” kata kenyataan hantaran itu.
Usaha bersepadu itu, ujar kementerian, bagi melindungi kesejahteraan dan meningkatkan kadar pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan pekerja sektor agromakanan tempatan.
AiVAC diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ketika berucap sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2021 kelmarin.
Usaha sama dengan pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 itu sekali gus membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi dan rantaian nilai makanan.
Menjelaskan lebih lanjut, pelaksanaan AiVAC melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri statik dan bergerak di bawah Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), dengan menyasarkan entiti syarikat perniagaan, komersial dan perusahaan agromakanan dijangka membabitkan sejumlah 100,000 individu di seluruh negara.
“Program berkenaan sebenarnya sudah pun bermula sejak 1 Ogos lalu dan akan berterusan sehingga menjelang akhir November depan,” tambah kenyataan kementerian tersebut lagi.
Organisasi dan individu yang berminat menyertai program AiVAC, mereka diminta agar segera mendaftar dengan mana-mana jabatan atau agensi di bawah kementerian berkenaan atau boleh menghubungi Bilik Gerakan AiVAC di talian 03-8870 1445 atau 1360, di samping mendapatkan maklumat lanjut dengan mengirim e-mel [email protected]. -UTUSAN ONLINE