4,056 keluarga di kawasan PKPD di Parlimen Paya Besar terima bakul makanan - Utusan Malaysia

4,056 keluarga di kawasan PKPD di Parlimen Paya Besar terima bakul makanan

MOHD. SHAHAR Abdullah (depan) turut membantu memunggah barangan untuk bakul makanan bagi diagihkan kepada mereka yang terkesan di Taman Tas di Kuantan, Pahang berikutan PKPD di kawasan terbabit dilanjutkan hingga 14 ogos. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 4,056 keluarga di kawasan Taman Tas, Pandan Permai dan Lubuk Puyu yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima agihan bakul makanan dari pejabat Ahli Parlimen Paya Besar hari ini.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah berkata, pihaknya memahami kesulitan penduduk apabila PKPD di kawasan berkenaan disambung dua minggu lagi sehingga 14 Ogos ini. 

Katanya, sumbangan itu dilaksanakan bagi memastikan setiap keluarga yang terjejas mempunyai bekalan makanan di kediaman mereka.

“Situasi di Taman Tas sedikit berbeza dengan kawasan dikenakan PKPD lain apabila penduduk terpaksa melalui tempoh inj sehingga empat minggu berbanding kebiasaan (PKPD) hanya dua minggu. 

“Bantuan bakul makanan ini untuk meringankan beban mereka. Walaupun ia dilihat belum mencukupi, tapi kita cuba lihat apa lagi yang boleh kita buat untuk membantu penduduk di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan proses penghantaran bakul makanan kepada penduduk Taman Tas di Dewan Abdul Manan di sini hari ini.

Sebanyak 10 buah lori membawa muatan barangan keperluan asas digunakan untuk melancarkan proses pengagihan bakul makanan itu. 

Proses pembungkusan bakul makanan itu dilakukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing. 

Selain itu, Mohd. Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, pihaknya sudah mengagihkan kira-kira 13,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar Parlimen Paya Besar sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. 

Beliau dalam pada itu berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan pihak Kementerian Kesihatan untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan PKPD. 

Tambahnya, pemberian vaksin itu sebagai salah satu cara untuk membendung penularan Covid-19. 

“Kita juga sedang mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN