GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin dapat mencapai sasaran 100 peratus populasi dewasa menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menjelang minggu pertama bulan depan atau pada tempoh lebih awal.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu berikutan kadar vaksinasi harian yang tinggi di negeri ini termasuk sebanyak 35,688 dos semalam iaitu rekod pencapaian tertinggi sehingga kini.
Berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) setakat semalam, seramai 924,753 penduduk Pulau Pinang sudah menerima suntikan dos pertama manakala 451,978 sudah melengkapkan kedua-dua dos.
Dalam perkembangan sama tambah Kon Yeow, Pulau Pinang juga akan mengemukakan kepada kerajaan Pusat berhubung prosedur operasi standard (SOP) ‘dine-in’ bagi pemilik dan pekerja restoran atau pemilik premis menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin sebelum dibenarkan beroperasi.
Jelasnya, bagi mendepani peningkatan kes harian Covid-19 di negeri ini juga, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah membuat pelan penyusunan kemudahan perubatan.
Antarnya tambah beliau, penambahan katil untuk pesakit Covid-19 yang mana Kompleks Masyarakat Penyayang di sini bakal dijadikan Pusat Rawatan Risiko Tinggi (PRRT) dengan penempatan 100 buah katil bagi pesakit Kategori 3 dan Kategori 4.
“JKNPP juga memberi jaminan bekalan tangki oksigen yang mencukupi bagi keperluan pesakit dan setiap isi rumah adalah digalakkan untuk memiliki ‘pulse oximeter’ yang dapat dibeli secara dalam talian dan juga farmasi-farmasi terdekat.
“Dalam masa sama, sistem pengesanan kontak akan ditambah baik dan ditingkatkan bagi memastikan rantaian perebakan dapat diputuskan pada kadar sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Kon Yeow, JKNPP menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) juga menyediakan pautan khas di https://forms.gle/1PSgwdPA5L32ugxy7 supaya individu
positif Covid-19 boleh membuat laporan bagi tindakan pihak-pihak berkaitan.
Selain itu tambahnya, Pusat Penilaian Covis-19 (CAC) di Hotline 04 – 382 7143 / 04 – 3827142 juga akan beroperasi pada setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 10 malam bagi pemantauan kes-kes positif yang diletakkan di bawah pemantauan di rumah. – UTUSAN ONLINE