PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan seramai 100 daripada 300 pegawai perubatan kohort ketiga menolak pelantikan tetap yang baharu dilaksanakan bulan ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, pelantikan tetap melibatkan seramai 300 pegawai perubatan daripada kohort ketiga (lantikan 15 Mei 2017) yang layak dipertimbangkan telah ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan disediakan kementerian mengikut keperluan semasa.
Katanya, pihaknya memandang serius mengenai perkara ini kerana peluang pelantikan tetap ini tidak sepatutnya dilepaskan pada ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya melantik mereka secara tetap.
“Baki seramai 100 orang pegawai yang tidak melapor diri bertugas melibatkan 85 pegawai perubatan menolak tawaran dan 15 pegawai lagi meletak jawatan berikutan mendapat tawaran lain.
“Susulan penolakan tawaran itu, tawaran pelantikan tetap kali kedua tidak lagi akan ditawarkan kepada pegawai yang menolak tawaran bagi memberi peluang kepada pegawai lain yang masih menunggu giliran untuk dilantik tetap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shafiq berkata, bagi 100 kekosongan jawatan tetap di Sabah dan Sarawak, pengisian segera akan dibuat dalam kalangan baki calon dalam kohort ketiga (lantikan 15 Mei 2017) setelah mendapat kelulusan pelantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Katanya, seramai 200 pegawai bersetuju menerima tawaran tersebut dan sudah ditempatkan di lokasi yang mempunyai kekosongan dengan 150 pegawai iaitu baki 19 pegawai kelahiran Sabah dan 131 pegawai kelahiran semenanjung ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan di Sabah.
“Bagi 150 pegawai kelahiran semenanjung dilantik tetap dengan penempatan di Sarawak. Semua anak kelahiran Sarawak dalam kohort lantikan ini telah pun dilantik tetap dalam urusan terdahulu.
“Sejak lantikan pertama secara tetap pegawai perubatan pada tahun 2018 hingga kini, jumlah keseluruhan pegawai yang telah ditawarkan pelantikan tetap adalah seramai 1,089 orang,” katanya.
Dalam perkembangan melibatkan perkara berkaitan isu doktor kontrak, beliau berkata, pihaknya telahpun memulakan gerak kerja dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti perkara tersebut melibatkan satu mesyuarat diadakan pada 20 Ogos lalu.
Katanya, ia diwakili wakil Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Bahagian dan Program di KKM bagi meneliti terma rujukan dan skop pelaksanaan selaras dengan keputusan kerajaan pada 14 Julai lalu mengenai keperluan untuk KKM dan agensi berkaitan menyediakan satu pelan komprehensif bagi menangani isu berkaitan dengan doktor kontrak.
“Hasil mesyuarat itu mencapai persetujuan dengan cadangan penubuhan lima pasukan kerja dan pelaksanaan libat urus dengan pihak-pihak yang berkepentingan.
“Selain itu, KKM ingin memaklumkan mengenai urusan pelantikan secara tetap yang masih diteruskan seperti biasa namun pelaksanaannya tertakluk kepada kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE