KOTA KINABALU: Persidangan Parlimen selama lima hari tidak rasional dan tidak mencerminkan sifat demokratik kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Persidangan yang singkat itu menggambarkan kerajaan seolah-olah bersetuju dengan pembukaan Parlimen kerana terpaksa dan tidak merangkul tradisi Parlimen sebagai medan demokrasi unggul bagi memutuskan perundangan Persekutuan.
Begitulah pendirian ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) mengenai pembukaan sidang Parlimen yang akan berlangsung selama lima hari bagi Dewan Rakyat dan tiga hari bagi Dewan Negara.
Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama lapan ahli Parlimen Warisan iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Rozman Isli (Labuan), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Azis Jamman (Sepanggar), Ahmad Hassan (Papar), Datuk Mohammadin Ketapi (Lahad Datu) dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan) serta Senator Datuk Douglas Lind.
Menurut kenyataan itu, dalam situasi genting ketika berhadapan pandemik Covid-19 ini, wakil-wakil rakyat perlu mengutarakan pebagai kerisauan dan keprihatinan terhadap segala bentuk pelaksanaan kerajaan PN.
“Penetapan tempoh lima hari tersebut menimbulkan kecelaruan, kebimbangan dan keraguan rakyat terhadap kredibiliti pentadbiran kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Parlimen tidak seharusnya diperlekehkan dengan aturan atau tatacara tertentu yang membataskan suara-suara kami, khususnya Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.
Mereka berpendapat penamatan Darurat adalah intipati penting yang akan difokuskan dalam sidang Parlimen kali ini. Maka, ia memerlukan ruang perbahasan Parlimen yang menyeluruh.
Justeru, Ordinan Darurat 2021 yang membabitkan Ordinan Darurat 2021 (Kuasa-Kuasa Perlu), Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dapat dibahaskan secara terperinci.
Malah kata mereka, ordinan-ordinan lain seperti Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kuasa Penting) (Pindaan)
2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 perlu dibahaskan.
Mereka juga menegaskan agar persidangan Parlimen kali ini dilaksanakan sepenuhnya secara berdepan atau fizikal berpaksikan Peraturan-Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua Majlis Parlimen serta perundangan-perundangan Persekutuan yang lain.- UTUSAN ONLINE