KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa agar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) khas diadakan bagi membolehkan Sabah meluluskan ‘agenda bersama untuk membawa suara rakyat di Parlimen.
Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus segera memanggil DUN bersidang pada minggu hadapan seiring dengan pembukaan sidang Parlimen dalam masa terdekat ini.
Beliau berkata, sidang DUN khas perlu disegerakan bagi membolehkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membangkitkan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing untuk dibahaskan bagi membentuk agenda bersama.
Apabila agenda bersama itu dipersetujui maka, usaha membawa suara dan kehendak rakyat Sabah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dapat dibangkitan oleh ahli-ahli Parlimen Sabah dalam persidangan Parlimen akan datang.
Ahli Parlimen Penampang ini berkata, biarpun Warisan akan terus mencari kelemahan dan kegagalan kerajaan GRS dan Perikatan Nasional (PN) namun, pada masa ini suara dan keperluan rakyat Sabah harus diberikan keutamaan.
“Dalam sidang Parlimen akan datang, semua wakil rakyat Sabah boleh membahaskan isu yang sudah dipersetujui dalam agenda bersama.
“Inilah masa untuk 24 ahli Parlimen dari Sabah untuk mengenepikan perbezaan politik dan memberi keutamaan kepada keperluan negeri dan rakyat Sabah yang kini berada dalam kesukaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelas Darell, ketika ini, ramai rakyat yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan serta berhadapan kesukaran untuk mengikuti sesi pembelajaran kerana tiada akses internet yang baik.
Justeru, semua ahli Parlimen perlu bersama-sama menyuarakan keperluan Sabah agar negeri ini tidak ketinggalan dalam program vaksinasi, agihan bakul makanan, bantuan kewangan, peluang ekonomi yang perlu dipulihkan semasa pasca Covid-19.
Tambah beliau, titik persamaan antara semua wakil rakyat Sabah bagi mencari kaedah membantu rakyat serta meneruskan perjuangan menuntut hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Maka, pemimpin Sabah juga harus mengambil peluang yang ada ini untuk sama-sama berganding bahu menuntut hak Sabah sebagai rakan sekutup – UTUSAN ONLINE