UMNO perlu berkorban, beri peluang pemimpin muda terajui parti - Utusan Malaysia

UMNO perlu berkorban, beri peluang pemimpin muda terajui parti

LEE KUOK TIUNG (kiri) dan ROMZI ATIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan menghilangkan ‘taring’ UMNO yang dahulunya cukup gagah menentang kedua-dua parti lawan itu.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, umum mengetahui permusuhan antara UMNO dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sudah berlanjutan sejak sekian lama dalam arena politik Malaysia.

Maka, tindakan Presiden UMNO untuk membentuk jajaran politik baharu dengan musuh tradisi ini akan menyebabkan UMNO terus berpecah kepada beberapa pasukan. 

“Persoalan sekarang adakah penyokong di peringkat akar umbi dapat menerima idea tersebut. Jika diperhatikan sejak kebelakangan ini jelas wujud perbezaan pendapat dalam UMNO hingga membawa kepada pertukaran jawatan dalam hierarki parti tersebut. Misalnya, berkaitan pendirian Ahli Parlimen UMNO untuk kekal atau tidak dalam barisan Kabinet Persekutuan.

“Apa yang boleh dilihat sekarang, Ahmad Zahid cuba melakukan sesuatu untuk memastikan UMNO terus kekal relevan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang atau sekurang-kurangnya berjaya mengekalkan bilangan kerusi yang lebih banyak berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS ini berkata, isu pemecatan Ahmad Zahid memerlukan gelombang protes yang cukup kuat daripada kepimpinan UMNO kerana isu pemecatan ini terikat kepada perlembagaan UMNO dan ia perlu melalui proses tertentu.

Bagaimanapun, Kuok Tiung berkata, seandainya Ahmad Zahid memilih untuk mengundurkan diri atau dipecat oleh parti, masih ramai pemimpin UMNO yang berkaliber boleh mengambil alih pucuk pimpinan parti tersebut. 

Sementara itu, bagi Romzi Ationg, sama ada Presiden UMNO itu perlu berundur atau tidak, ia adalah urusan UMNO dan majlis tertinggi parti itu sendiri.

“Namun, saya yakin, UMNO perlu memberi peluang kepada pemimpin lain, khususnya mereka yang lebih muda dan tidak terpalit dengan isu-isu integriti. Ini antara pilihan yang wajar dipertimbangkan.

“Demi kelangsungan mahupun memperkukuhkan semula pengaruh UMNO dalam politik negara, pemimpin parti wajar berlapang dada dan bersedia berkorban untuk kepentingan parti. 

“Jika dilihat UMNO masih merupakan parti yang berpengaruh tetapi, sokongan akar umbi makin goyah apabila unsur mementingkan diri dalam kalangan pemimpin semakin menonjol,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Khidmat Komuniti UMS berkata, perpecahan dalaman yang semakin ketara dalam UMNO akan merugikan parti tersebut.

Justeru itu, Romzi berharap kepimpinan UMNO akan berusaha menangani masalah dalaman dengan lebih berhemat dan paling penting kembalikan semula keyakinan rakyat melalui pengukuhan elemen ‘rakyat diutamakan dan bersedia berkorban untuk negara dan parti’.

Pada Perhimpunan Agung UMNO lalu, Ahmad Zahid senada dengan pemimpin UMNO lain bahawa No Anwar, No DAP dan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sehingga PRU-15.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya