JERANTUT: Penduduk lima buah kampung pedalaman Hulu Tembeling di sini masih ‘tegar’ menggunakan bot penambang Sungai Tembeling untuk berulang alik sejauh 130 kilometer ke bandar ini dan ketika menziarahi keluarga di kampung berdekatan.
Bot penambang atau dikenali ‘ekspres rakyat’ Sungai Tembeling menjadi sinonim dengan budaya masyarakat Melayu pedalaman negeri sebagai pengangkutan utama sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Pengalaman menarik yang ditempuh sekumpulan sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) selaku petugas barisan hadapan ketika menaiki bot penambang ke pedalaman hulu untuk membantu petugas Jabatan Kesihatan memberikan suntikan vaksin kepada penduduk sukar dilupakan.
Bagi sukarelawan MTSP Jerantut menaiki bot penambang Sungai Tembeling sudah menjadi kebiasaan setiap kali berulang alik melakukan program kemanusiaan dan kebajikan di pedalaman tersebut, tetapi berlainan pula bagi mereka yang berasal dari luar daerah ini atau tempat lain.
Naib Pengerusi Satu MTSP, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata, ketika menaiki bot penambang dia dapat menikmati pengalaman baharu melihat kenderaan air penduduk ke hulu ke hilir di Sungai Tembeling lalu fikirannya terus terakam lagu yang popular, iaitu Ekspres Rakyat nyanyian kumpulan Kembara.
Katanya, budaya penduduk pedalaman Hulu Tembeling unik kerana aktiviti pengangkutan menggunakan bot penambang merupakan rutin biasa malah berkeperluan untuk mereka pergi ke sesebuah kampung ataupun turun berbelanja ke bandar Jerantut.
“Saya dan rakan sukarelawan dari Kuantan dan Bera mengalami pengalaman menarik ketika bot penambang menempuh jeram berbatu dan kadang kala terpaksa turun menolak bot yang terkandas di kawasan cetek yang saya anggap jarang berlaku di sungai tempat lain.
“Begitu juga, saya kagum dan teruja melihat warga emas, orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda dan bertongkat sanggup turun dan naik bot penambang di jeti untuk pergi dan pulang dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di tiga buah kampung,” katanya di Kampung Bantal di sini.
Mohd. Farid yang juga Ketua Pemuda UMNO Pahang berkata, kesemua penduduk Hulu Tembeling yang tinggal jauh dibawa menaiki bot penambang ke PPV di Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Sungai Kucing secara tersusun dan selamat kerana mereka (penduduk) serta pemandu (bot) sentiasa mematuhi peraturan keselamatan semasa perjalanan di sungai termasuk prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, petugas barisan hadapan seperti Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa beruniform juga turut menaiki bot penambang berulang alik ketika bertugas di PPV termasuk wakil rakyat dalam memberikan kesedaran dan motivasi kepada penduduk mengenai signifikan pengambilan vaksin.
“Saya dimaklumkan lebih 1,000 orang penduduk Hulu Tembeling khususnya dari kawasan terpencil hadir mengambil vaksin dengan menaiki bot penambang Sungai Tembeling. Saya teruja melihat fenomena kehidupan di pedalaman yang cukup unik dan sukar dilupakan,” katanya.
Sementara itu, rakan sukarelawan MTSP Jerantut, Faezah Ishak berkata, lawatan ke kampung pedalaman Hulu Tembeling menaiki bot penambang sudah menjadi kebiasaan kerana dia kerap membantu program misi kemanusiaan ketika berlaku bencana alam seperti banjir, kebakaran, aktiviti ziarah dan terkini Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di bawah pengurusan kerajaan negeri, UMNO Bahagian dan wakil rakyat setempat.
“Sebelum ini, ketika menaiki bot penambang saya berasa takut ketika merentasi jeram berbatu dan waktu banjir, tetapi lama-kelamaan bertukar seronok dan teruja pula apabila dapat melihat keindahan alam sekitar di kiri kanan Sungai Tembeling.
“Keunikan pengangkutan sungai ini ditambah lagi kepelbagaian budaya penduduk pedalaman Hulu Tembeling merupakan satu aset bagi tarikan pelancong dari seluruh dunia dan pelawat domestik yang belum pernah ke sini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE