TMJ mahu kerjasama Johor dan Indonesia ditingkat pasca pandemik - Utusan Malaysia

TMJ mahu kerjasama Johor dan Indonesia ditingkat pasca pandemik

Sunarko (kiri) melihat petugas menyediakan bakul makanan untuk diagihkan kepada warga Indonesia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu kerjasama antara Johor dan Indonesia diperkukuh dalam pelbagai bidang, khususnya selepas tempoh pandemik Covid-19 berakhir kelak.

Seruan itu dinyatakan Tunku Ismail ketika baginda berkenan menerima kunjungan hormat delegasi Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru pada 12 Mei lalu.

Konsul Jeneral KJRI Johor Bahru, Sunarko berkata, kerjasama itu penting bagi membawa kesejahteraan kepada masyarakat bukan sahaja di Johor tetapi juga di republik itu.

“Dalam pertemuan itu, saya melaporkan perkembangan kerjasama antara kedua-dua pihak dan baginda menyatakan keperluan untuk teruskan tingkatkan hubungan itu. 

“Kita masyarakat serumpun, jadi situasi pandemik tidak sepatutnya mengurangkan hubungan baik antara kedua-duanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Sunarko turut memberitahu, antara sektor yang ditekankan adalah perdagangan dan pelaburan, selain perlunya memberi tumpuan kepada hubungan ‘people to people’.

Sebelum ini, KJRI melalui Konsul Hal Ehwal Ekonominya, S. Ari Wardhana dilaporkan berkata, Johor mempunyai peluang yang luas untuk meningkatkan nilai dagangan dengan Indonesia khususnya di Kepulauan Riau.

Ini ekoran lokasi strategik Johor yang terletak dalam kawasan Segitiga Pertumbuhan Singapura-Johor-Riau (Sijori) yang mana Riau merupakan antara 15 Zon Ekonomi Khas Indonesia.

Berdasarkan rekod, Johor telah menerima pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai hampir RM8.5 bilion dalam tempoh antara 2013 hingga 2019, sekaligus menandakan terdapat banyak lagi peluang kerjasama ekonomi yang boleh diterokai pada masa depan.

Dalam masa sama, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad juga pernah menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk mengaktifkan semula kerjasama semua pihak dalam Sijori yang telah diwujudkan sejak 1993.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya