PUTRAJAYA : Tiada sijil digital vaksinasi lain diiktiraf kerajaan selain yang dikeluarkan menerusi aplikasi MySejahtera oleh Kementerian Kesihatan.
Justeru, mana-mana kerajaan negeri yang mahu melaksanakan program vaksinasi perlu memastikan sistem pengurusan vaksin yang diguna pakai selari dengan aplikasi MySejahtera.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid- 19 (JKJAV) hanya mengiktiraf sijil digital vaksin yang dikeluarkan MySejahtera.
Beliau berkata, ia penting bagi memastikan integriti vaksin itu terjamin dan terpelihara walaupun vaksin itu diperoleh daripada badan atau syarikat yang diluluskan.
“Saya difahamkan, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Pejabat Menteri Besar Selangor sedang berbincang bagi membangunkan proses kerja vaksinasi untuk Program Vaksin Selangor (SelVAX).
“Ia bagi memastikan sistem pendaftaran vaksin yang bakal digunakan SelVAX itu selari dengan sistem MySejahtera,” katanya dalam sidang akhbar mingguan CITF, hari ini.
Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Selangor melancarkan SelVAX sebagai usaha melengkapkan dan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat di negeri itu.
Ia terbahagi kepada dua program iaitu SelVAX Komuniti yang menyasarkan agihan vaksin percuma kepada 250,000 warga Selangor dan SelVAX Industri iaitu program berbayar untuk syarikat.
SelVAX Industri terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, program itu penting bagi mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus daripada populasi dewasa di Selangor menjelang Oktober depan. -UTUSAN ONLINE