PUTRAJAYA: Tiada siapa boleh dianiaya. Itu jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung isu caj syarikat penghantar makanan yang dikatakan menekan peniaga dan pengguna.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, beliau berkata, satu kaedah penyelesaian bakal diputuskan kerajaan sebagai langkah terbaik dalam merungkai isu berkenaan bagi memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Menurutnya, sesi libat urus akan diadakan bersama syarikat-syarikat berkaitan termasuk persatuan peniaga dan pengguna untuk mendengar segala permasalahan berbangkit sekali gus mencapai satu kata sepakat supaya tidak ada pihak cuba mengambil kesempatan atas trend pembelian secara online oleh pengguna ketika ini.
“Kami mengambil serius isu ini. Ketika ini kita sedang melihat situasi dari segenap sudut bagi memastikan kepentingan semua pihak yang terlibat diutamakan.
“Kementerian akan memanggil semua syarikat berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi isu ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, tiada siapa boleh teraniaya baik daripada pihak vendor, peniaga atau pengguna.
“Dalam kerajaan menggalakkan pengguna membeli secara online bagi menyokong prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh pandemik Covid-19 ini, semua pihak perlu memainkan peranan dan tidak sewenang-wenangnya boleh mengambil kesempatan,” katanya.
Isu caj tidak munasabah syarikat penghantar makanan menimbulkan situasi tidak senang apabila rata-rata pelanggan mengeluh apabila melihat harga jualan menerusi aplikasi penghantaran makanan bagai ‘jauh panggang dari api’, naik sehingga dua kali ganda berbeza nilai yang ditawarkan di restoran atau gerai. – UTUSAN ONLINE










