JERANTUT: Dua rakan sekolah semasa kanak-kanak dan awal remaja teruja apabila dapat berjumpa semula secara tidak sengaja selepas 48 tahun di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini hari ini.
Hamdan Daud, 63, dari Kampung Ulu Cheka dan Maziah Kamaruddin, 63, dari Felda Jengka 24 ditakdirkan duduk sebaris ketika menunggu giliran suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di pusat berkenaan.
Hamdan ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, dia tergerak hati untuk menegur ‘jiran sebelah’ sebaik sahaja petugas memanggil nama Maziah untuk memberi nombor giliran menunggu.
“Kami juga berada di tempat sama pada pengambilan dos pertama tetapi tidak berjumpa. Saya memang tidak mengenalinya kerana perubahan fizikal dan wajahnya dilindungi pelitup muka dan memakai tudung.
“Saya teruja dan gembira melalui suaranya saya pasti dialah Maziah rakan Sekolah Kebangsaan (SK) Pawang Nong Ulu Cheka (1965 hingga 1970) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut (1971-1973).
“Selepas belajar bersama di tingkatan tiga kami berpisah dan tidak berjumpa selama 48 tahun sehinggalah berjumpa tidak sengaja setelah masing-masing beranak cucu,” katanya yang juga pesara Jabatan Hutan Pahang di sini hari ini.
Menurut Hamdan, Maziah ialah anak Cikgu Kamaruddin Rashid menjadi ketua darjah dari darjah satu hingga enam di SK Pawang Nong Ulu Cheka manakala dia pula penolong ketua darjah.
Tambah beliau, ketika belajar di SMK Jerantut, mereka juga sekelas dan berkawan rapat.
Sementara itu Maziah turut gembira dapat berjumpa rakan sepermainan ketika kanak-kanak yang meninggalkan banyak kenangan walaupun kini semuanya sudah berubah
“Saya bersyukur dapat berjumpa semula kawan yang sekian lama tidak bertemu. Selepas 1973 saya berpindah ke beberapa daerah seperti Pekan, Temerloh dan Lipis mengikut ayah yang bertukar tempat kerja.
“Saya ditakdirkan bertemu jodoh dengan orang Jerantut juga dan kini menetap di Felda Jengka 24 sebagai peneroka,” katanya.
Menurutnya, dia bercadang membawa suami dan anak-anak menziarahi kawan lamanya itu bagi mengeratkan silaturahim sambil melihat kembali tempat bermain semasa kanak-kanak dahulu.- UTUSAN ONLINE