SEREMBAN: Tempoh sidang Parlimen yang akan diadakan selama lima hari bermula 26 Julai ini disifatkan sebagai terlalu singkat bagi memberi ruang kepada seluruh Ahli Parlimen berbahas.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berpandangan, sidang Dewan Rakyat sepatutnya perlu dipanjangkan lagi tempohnya kerana sudah tentu ada usul yang perlu dibahaskan dalam persidangan kali ini.
“Lima hari memang pendek, ikut pengalaman memang tidak ramai ahli Parlimen akan dapat berbahas. Masa memang tidak cukup dan terlalu singkat, sepatutnya dipanjangkan.
“Ahli Parlimen belum dapat notis dan agendanya lagi. Parlimen ada prosedurnya dan tidak boleh menteri datang dan menerangkan sahaja. Mesti ada usul dan rang undang-undang ataupun kenyataan menteri, paling penting dan asas mesti ada usul yang mesti dibahaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Kepada Peniaga Pasar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sehat Healthcare Centre di Seremban 2 di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan berlangsung tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos depan.
Sementara itu, Siew Fook memberitahu, pihaknya telah menerima peruntukan sebanyak RM300,000 yang disediakan kerajaan Persekutuan untuk program Bantuan Bakul Makanan menerusi menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
“RM300,000 itu telah diterima tetapi saya belum memulakan program itu lagi kerana saya (masih) ada program bakul makanan sendiri yang saya agihkan sebelum mulakan program menerusi peruntukan RM300,000 itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE