PETALING JAYA: Penilaian terhadap kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di kawasan perindustrian perlu dilihat dengan terperinci dalam tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Selangor dan ibu negara yang bermula semalam
Tempoh tersebut penting untuk dijadikan petunjuk bagi menentukan sama ada sektor kilang wajar ditutup sepenuhnya atau tidak selepas tiada penurunan kes dicatatkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak sebulan lalu.
Bercakap kepada MIngguan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pelaksanaan PKPD di tiga negeri selama dua minggu disifatkan sebagai tempoh kritikal untuk melihat trend penurunan kes Covid-19.
Malah katanya, PKPD atau PKP sepatutnya tidak diperlukan pada masa ini dan hanya menyasarkan kawasan atau sektor mencatatkan peningkatan kes tinggi.
“Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu tunjukkan secara spesifik premis, lokasi dan komuniti yang mempunyai kes atau kluster aktif seterusnya menutup kawasan berkenaan.
“Ini kerana jika masih cara yang sama ia tidak memberi kesan, sebaliknya menyusahkan rakyat dan negara serta membazir masa. Tidak perlu total lockdown dan ia beri kesan tidak bagus. Kawasan atau negeri yang tidak banyak kes sepatutnya boleh dibuka,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPD bermula semalam sehingga 16 Julai susulan peningkatan kes Covid-19 membabitkan hampir keseluruhan negeri Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFH), Amrahi Buang berkata, PKPD bersasar adalah lebih baik terutama membabitkan premis atau kilang yang mempunyai kluster Covid-19.
Menurutnya, pelaksanaan tersebut tidak mendatangkan kerugian besar berbanding PKP 3.0 yang dilaksanakan sebelum ini selepas dilihat tidak menunjukkan trend penurunan kes Covid-19.
“Persoalannya jika gagal lagi PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur bagaimana? Berapa lama lagi perlu ditunggu? Mengapa ‘pukul rata’ semua yang tidak terlibat, ” katanya. – UTUSAN ONLINE










