REMBAU: Sebanyak satu tan metrik sayur kangkung dan bayam serta 200 kilogram ikan sembilang disumbangkan kepada penduduk di empat lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dekat sini.
Ia disumbangkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas menerima makluman kesukaran dihadapi penduduk terlibat untuk memperoleh barangan basah setiap hari.
Pengasas Pertubuhan Amal Anak Rembau (PAAR), Zaiton Othman berkata, sejak 19 Julai lalu, pihaknya menerima banyak mesej membabitkan penduduk di kawasan PKPD yang memohon bantuan makanan.
Ujarnya, ia ekoran banyak barangan dijual di premis kedai di dalam kawasan PKPD kehabisan selain pergerakan penduduk yang terhad.
“Bantuan ini diteruskan pada masa akan datang dengan barangan basah lain seperti ayam kerana ada penduduk yang mengadu ia agak mahal di dalam kawasan PKPD,” katanya kepada Utusan Malaysia i di Pos Kawalan PKPD Taman Chembong Utama, dekat sini semalam.
PKPD di empat lokaliti di daerah ini membabitkan seramai 4,200 penduduk dengan bilangan 1,027 rumah di Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya, Taman Setia Raja di Mukim Chembong serta Taman KSNS di Mukim Pedas yang bermula 19 Julai lalu hingga 1 Ogos ini.
Dalam pada itu, Zaiton berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat akan menyerahkan pemberian sumbangan tersebut kepada golongan yang memerlukan bantuan di dalam kawasan PKPD berkenaan.
“Kami memperoleh maklumat penduduk terjejas dari pemimpin taman-taman perumahan terlibat dan melalui mereka jugalah bantuan ini diagihkan. Melalui nama yang dikenal pasti, kami turut menyerahkan sumbangan lampin pakai buang dan susu,” katanya. – UTUSAN ONLINE