JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbangkan sebanyak 562 kotak makanan kepada mangsa ribut di tujuh buah kampung di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, hari ini.
Sumbangan berupa 281 kotak keperluan makanan dan 281 lagi kotak mi segera disampaikan Mejar Cina, Datuk David Wong di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili.
Bantuan sumbangan makanan daripada Sultan Ibrahim disampaikan kepada keluarga-keluarga yang ditempatkan di PPS berkenan yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.
Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Faizal Mat Teh, 30, berkata, kediamannya terjejas teruk akibat dilanda ribut dan kini terpaksa menumpang sementara di rumah saudara.
Mohd. Faizal memberitahu, ibu dan kakaknya berada di PPS kerana segala barangan dalam rumah rosak dibasahi air manakala sebahagian struktur rumah pula tumbang.
“Memang kami tidak mampu untuk membaiki secara keseluruhan rumah ini dan saya hanya bekerja biasa di kampung. Saya berterima kasih atas kurniaan bantuan makanan yang diterima daripada Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook Sultan Johor, hari ini.
Dalam kejadian bermula pukul 3 petang semalam, hujan lebat dan angin kencang merosakkan 291 rumah terutama bahagian atap dan garaj kereta.
Kampung yang terlibat Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Kampung Tanah Putih, Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar.
Ribut berkenaan turut mengakibatkan puluhan pokok tumbang sehingga menyebabkan beberapa laluan jalan raya terhalang namun tiada kecederaan melibatkan mangsa.- UTUSAN ONLINE










