SEGAMAT: Sepasang suami isteri yang tular dalam media sosial selepas ditemukan tinggal di bawah sebuah jambatan di Kampung Sedeng, baru-baru ini telah dipindahkan ke kediaman yang lebih selesa, semalam.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Segamat, Mohamad Kamil Helmi Mohd. Pang berkata, melalui pengesahan dokumentasi juga, pasangan tersebut baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Mei lalu.
“Setelah perbincangan terperinci oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama dengan Penghulu Mukim Pogoh serta persetujuan pasangan terbabit, satu keputusan bersama telah dibuat iaitu mencari penempatan yang berdekatan dengan tempat kerja ketua keluarga itu.
“Keputusan tersebut dipersetujui dengan menyewa sebuah bilik yang terletak di tingkat atas bangunan kedai di Bandar Segamat yang turut mendapat persetujuan daripada pemilik bangunan.
“Alhamdulillah, semalam, kita sudah berjaya membawa masuk kedua-dua suami isteri ini dan menyediakan keperluan bagi kegunaan untuk sewaan bilik disamping menyediakan barang keperluan dan peralatan seperti tikar, selimut dan tilam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 1 minit 48 saat dalam media sosial memaparkan keadaan daif sepasang suami isteri yang tinggal di bawah jambatan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dan reaksi yang berbeza daripada pengguna.
Difahamkan, kedua-duanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual air soya.
Tambah Mohamad Kamil, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 35 dan 30 tahun itu juga akan diberikan bantuan RM300 yang akan diserahkan oleh pihaknya hari ini.
“Disamping itu, JKM turut mempertimbangkan bantuan bulanan berjumlah RM300 selama setahun di bawah skim bantuan am, namun mereka turut dinasihatkan agar mencari pendapatan tambahan bagi menampung kos kehidupan yang lain dari masa ke semasa.
“Selain itu, JKM juga telah memberikan sumbangan segera berbentuk bakul makanan untuk kegunaan pasangan tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE