Sekarang masa kuatkan jentera parti, buat PRU-15 pada 2022 - Utusan Malaysia

Sekarang masa kuatkan jentera parti, buat PRU-15 pada 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya boleh dilaksanakan sekurang-kurangnya pada tahun hadapan atau setelah Parlimen mencapai tempoh matang untuk dibubarkan pada 2023. 

Kesesuaian pelaksanaan pilihan raya pada waktu itu bagaimanapun bergantung dengan pandemik Covid-19 selaras dengan program vaksinasi ke atas seluruh rakyat untuk mencapai imuniti berkelompok. 

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bilcher Bala berkata, dengan kes jangkitan wabak masih berada pada tahap membimbangkan, pilihan raya tidak akan berlaku dalam masa terdekat walaupun selepas Belanjawan 2022 dibentangkan. 

“Semua parti politik kerajaan dan pembangkang masih belum bersedia menguatkan struktur jentera parti untuk berdepan PRU-15 malah sedang mencari kekuatan nak bergabung dengan parti mana. 

“Sekarang tidak sesuai buat pilihan raya tetapi inilah masanya untuk semua parti mencari pasukan yang sesuai untuk bekerjasama dengan siapa. 

“Adakah UMNO atau Pas akan sokong PN (Perikatan Nasional)? Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air), PKR dan DAP pula mahu bergabung dengan parti mana? Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) juga harus fikir cara mahu menang sebab UMNO tidak mahu lagi bersama mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini , Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian mendedahkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan PRU-15 mungkin diadakan akhir tahun ini. Beliau menyifatkan PRU-15 pada September atau Oktober munasabah kerana belanjawan negara biasanya dibentang di Parlimen pada waktu itu. 

Senada dengan Bilcher, penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun berkata, ada kemungkinan ramalan tersebut sebagai muslihat kerajaan untuk mengalihkan tumpuan semua pihak daripada mengadakan sidang Parlimen dalam masa terdekat.

Sekali pun mahu pilihan raya berlangsung, katanya, cabaran utama akan dihadapi oleh Bersatu yang menerajui PN adalah kesukaran untuk merebut kerusi daripada UMNO yang sememangnya mendapat sokongan majoriti orang Melayu. 

“Justeru, untuk meningkatkan kadar boleh menang Bersatu, formula mesti dicari dalam beberapa bulan akan datang di mana pucuk pimpinan UMNO dapat dialih tangan kepada mereka yang lebih sanggup untuk berkompromi dan bekerjasama dengan Bersatu termasuk perkongsian kerusi yang akan ditandingi,” katanya. 

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Muis berkata, pilihan raya dikhuatiri hanya dimanfaatkan untuk pengundi pulang ke kawasan masing-masing sekali gus merosakkan rancangan kerajaan dalam membendung wabak Covid-19. 

“Ini kerana ia melibatkan pergerakan rentas negeri secara besar-besaran berbanding pilihan raya negeri di Sabah tahun lalu. Sekiranya pilihan raya tetap diadakan tahun ini, proses vaksinasi harus dipercepat. 

“Ataupun, untuk mengelakkan pilihan raya, segerakan sidang Parlimen dan usulkan undi tidak percaya kepada kerajaan dan bentuk kerajaan baharu semula yang mendapat sokongan majoriti dan biarkan mereka habiskan mandat sehingga 2023 dan buatlah PRU-15 pada waktu itu,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.