Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN - Utusan Malaysia

Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas lapan negeri menjadi perintis pada minggu lalu, kini giliran Sarawak pula beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Rabu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu ditetapkan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setelah menilai laporan tiga nilai ambang.

“Setelah semua agensi terlibat meneliti nilai-nilai ambang negeri ini, mesyuarat MKN bersetuju membuat peralihan bagi Sarawak ke Fasa 2,” kata beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.

Perubahan tersebut ujarnya, berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama ditetapkan Kementerian Kewangan di bawah PPN sejak dilaksanakan pada 29 Jun lalu.

Sebelum itu, lima negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang muncul sebagai kumpulan pertama peralihan ke Fasa 2 pada 5 Julai lalu diikuti Pulau Pinang pada 7 Julai.

Sabah kemudian diubah ke fasa tersebut pada Sabtu lalu dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh jelas beliau, berjaya menampakkan impak positif di negeri-negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lepas, mengumumkan pelaksanaan PPN sebagai strategi peralihan keluar menerusi empat fasa daripada krisis wabak Covid-19.

Nilai ambang diukur berdasarkan purata kes harian Covid-19 direkod menurun bawah 4,000 kes dan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi berada pada paras sederhana selain kadar vaksinasi bagi jumlah populasi yang menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Kerajaan menjangkakan, seluruh negara beralih sepenuhnya kepada Fasa 4 PPN menjelang akhir tahun ini dan kehidupan kembali normal seperti sebelum wabak itu muncul tahun lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN