'Repeat order bro', penangan roti canai musang king - Utusan Malaysia

‘Repeat order bro’, penangan roti canai musang king

MOHD. Faizul menunjukkan roti canai musang king yang dijual di kedai miliknya iaitu Roti Tempayan Pasir Pekan yang terletak berhampiran Bulatan Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Ketika ramai mengeluh tidak berpeluang menikmati keenakan durian musang king atau D24 yang mahal, kedai Roti Tempayan Pasir Pekan, di sini menawarkan alternatif iaitu menjual roti canai berisi durian varieti premium tersebut.

Isi raja buah ‘kayangan’ bukan sahaja menjadikan menu sarapan rakyat itu lebih enak, malah laris pula terjual setiap hari kerana ramai mengakui tidak puas menikmatinya sehingga sering repeat order atau ulang tempah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Roti Tempayan Pasir Pekan, Mohd. Faizul Rohban berkata, dia menjual roti canai dengan isi asli durian premium pada harga berpatutan RM8 sekeping sebagai ikhtiar meneruskan kelangsungan hidup ketika pandemik.

“Idea ini tercetus selepas melihat rakan jual murtabak durian, namun saya buat kelainan sedikit iaitu jual roti canai dengan isi asli durian premium. Bekalan isi durian dalam bentuk pes ini saya beli daripada pengeluar durian di Tangkak Johor.

“Alhamdulillah, semua pelanggan yang cuba roti canai durian di kedai kami puas hati dapat rasa keenakan durian premium macam musang king yang kita tahu tidak semua mampu beli. Mereka juga seronok kerana kami tidak kedekut isi durian,” katanya.

Mohd. Faizul dalam pada itu memberitahu, sebagaimana namanya, Roti Tempayan Pasir Pekan yang diusahakan sejak 15 tahun lalu itu selama ini terkenal sebagai kedai roti tempayan tersohor di Pasir Pekan, di sini.

Namun katanya, penularan pandemik Covid-19 disusuli pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan selama berbulan-bulan menyebabkan perniagaannya hampir gulung tikar.

“Larangan makan di kedai serta had operasi sehingga pukul 8 malam menyebabkan hasil pendapatan saya merosot teruk hingga 90 peratus. Pelbagai ikhtiar saya buat termasuk menawarkan khidmat penghantaran rumah ke rumah, namun gagal.

“Siapa hendak makan roti tempayan pada waktu siang, beli bungkus dan makan di rumah pula tu. Selama ini, orang kita sudah terbiasa menikmati roti tempayan sambil lepak di kedai pada waktu malam,” katanya.

Menurut Mohd. Faizul, dalam tempoh PKP ketika ini, kedainya menerima tempahan secara dalam talian selain menawarkan perkhidmatan bayaran tunai semasa penghantaran (COD) di sekitar daerah ini, Pasir Mas dan Kota Bharu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN