PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 547 individu ditahan dengan 533 dikompaun, manakala 14 lagi direman hasil pemantauan membabitkan 83,068 pemeriksaan Task Force Operasi Pematuhan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 97 kes, tidak patuh arahan kawalan pergerakan dengan 82 kes, gagal merekod butiran diri di premis (67), tidak memakai pelitup muka (56), membawa penumpang secara berlebihan (44) dan lain-lain (201).
“Seramai 51 orang pendatang asing tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 642 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 499 peruncit, 140 pemborong dan 31 pengilang selain melakukan sejumlah 1,872 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya dua premis terbabit yang dikenakan kompaun.- UTUSAN ONLINE










