MELAKA: Lima sahabat dikatakan berpura-pura ingin menyewa di sebuah rumah inap desa dekat sini sebelum bertindak melarikan pelbagai perkakas kediaman tersebut di Jalan Kampung Tengah, Alor Gajah, semalam.
Kesemua suspek berusia 17 hingga 33 tahun itu dipercayai melarikan barangan elektronik antaranya peti sejuk, mesin basuh dan mesin penapis air dalam masa tiga jam selepas menerima kunci.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, mereka bagaimanapun berjaya ditahan kira-kira pukul 12.20 pagi oleh sepasukan polis dari Cawangan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Seorang pemilik rumah inap desa berusia 48 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah berhubung kejadian curi di premis itu pada 10 Julai lalu.
“Mengikut laporan dibuat, suspek pada awalnya ingin menginap selama tiga hari, namun setelah menerima kunci rumah selama tiga jam mereka membatalkan tempahan mendakwa premis itu tidak mempunyai perkakas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis percaya suspek telah menggunakan modus operandi berpura-pura untuk menginap bagi mengaburi kegiatan mereka dan kononnya rumah itu telah dipecah masuk sebelum dimasuki mereka.
Jelasnya, hasil tangkapan itu, polis turut menemui beberapa barang yang dilaporkan hilang termasuk peti sejuk, mesin basuh dan mesin penapis air di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru.
“Kita juga menemui beberapa paket lut sinar dipercayai dadah jenis syabu ketika melakukan pemeriksaan ke atas salah seorang suspek.
“Semakan lanjut mendapati kelima-lima suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” jelasnya.
Katanya lagi, suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE