GEORGETOWN: Kerajaan negeri mewujudkan Program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) yang merupakan program saringan dalam komuniti dengan sasaran dapat menurunkan jumlah kes Covid-19 di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program itu dapat mengenal pasti serta mengasingkan individu pembawa Covid-19 seterusnya mengawal virus tersebut daripada terus merebak.
“Ada pihak yang mempertikaikan usaha ini, namun ingin saya tegaskan tujuan utama PSC-19 adalah untuk kenal pasti tiga perkara penting iaitu saringan, pengesanan dan rawatan.
“Kalau kita tidak buat saringan macam mana kita hendak tahu ada kes Covid-19 dalam kalangan kita, jika kita sudah sampai ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pun kita masih perlu buat saringan,” katanya selepas meninjau pusat saringan PSC-19 di Stadium Bandaraya, di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntukkan khusus bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di 40 kawasan DUN bagi mengekang penularan Covid-19.
Pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.
Menurut Kon Yeow, Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada masa ini mengambil kira prestasi pencapaian nilai-nilai ambang kes Covid-19 setiap negeri bagi memutuskan peralihan ke fasa berikutnya dalam PPN.
Katanya, bagi Pulau Pinang pencapaian nilai ambang ditetapkan mengikut populasi negeri iaitu 217 kes bagi purata untuk tujuh hari.
“Sekiranya kes melebihi nilai ambang yang ditetapkan iaitu lebih 217 untuk purata seminggu, kita tidak dapat beralih ke fasa seterusnya.
“Selepas ini pun, jika kita sudah memasuki fasa ketiga PPN dan nilai ambang melebihi purata yang ditetapkan, MKN boleh letakkan kita kembali ke fasa pertama, jadi disebabkan itu program PSC-19 ini perlu dijalankan,” katanya.
Tambahnya, program PSC-19 itu akan diteruskan pada 10 dan 11 Julai iaitu di DUN Perai; Seberang Jaya; Permatang Pasir; Penanti; Sungai Dua serta Permatang Berangan dengan pusat saringan akan diumumkan dalam jangka masa terdekat.
Dalam pada itu katanya, proses ujian saringan Covid-19 dengan menggunakan kaedah pengambilan sampel air liur (deep throat saliva) untuk pekerja di kilang-kilang di negeri ini juga masih berjalan dengan kerjasama FMM.
“Jika didapati mana-mana kilang ada kes, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan segera buat saringan termasuk di lokasi lain yang dikesan kes positif Covid-16,” katanya. – UTUSAN ONLINE










