SHAH ALAM: Polis menyiasat tindakan sekumpulan individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah hotel di Glenmarie di sini, April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima satu laporan polis hari ini.
Katanya, laporan itu melibatkan pelanggaran SOP oleh sekumpulan individu yang menghadiri kursus sebuah parti politik.
“Dalam laporan polis itu, pengadu mendakwa kumpulan tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal antara satu sama lain.
“Perkara itu merupakan satu pelanggaran SOP seperti yang sudah ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.
Ujar Baharudin, video mengenai isu itu turut disaksikan pengadu menerusi dua akaun Facebook (FB).
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikompaun sebanyak RM2000 manakala RM10,000 ke atas penganjur.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi lebih seminit itu tular di media sosial memaparkan sekumpulan wanita menari dalam sebuah program di hotel tersebut.
Beberapa daripada individu itu bagaimanapun dilihat tidak memakai pelitup muka sekali gus gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Berdasarkan video yang diiringi lagu dangdut itu, program berkenaan dipercayai anjuran sebuah parti politik tempatan. -UTUSAN ONLINE