SEREMBAN: Bukan sahaja membantu mengangkat seorang warga emas yang pengsan di tengah jalan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban juga membantu membelikan makanan dan menghantar warga emas itu pulang ke rumah.
Mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, gambar tular di media sosial seorang anggota trafik yang mengangkat seorang warga emas yang pengsan berlaku kira-kira pukul 11 pagi, 17 Julai lalu.
Jelas beliau, kejadian tersebut berlaku ketika anggota BSPT Seremban sedang membuat tugas rondaan penguatkuasaan di sekitar bandar ini.
“Pasukan ini dianggotai oleh Sarjan Omar Mohd., Koperal Jamsari Sakirin, Lans Koperal Amir Hamzah Nasrudin dan Lans Koperal Muhammad Akmal Hakim Apandi. Ketika rondaan dibuat, pasukan ini telah ternampak seorang warga emas jatuh di tengah jalan kerana pening dan pitam semasa hendak melintas jalan di Jalan Sungai Ujong.
“Tanpa berlengah, anggota bertugas telah memberhentikan kenderaan dan membantu Muhammad Akmal Hakim, 24, telah mengangkat mangsa berusia 75 tahun itu dan membawanya ke tepi jalan untuk berteduh,” katanya hari ini.
Mohd. Said berkata, anggota BSPT Seremban itu juga segera membelikan makanan kepada warga emas sebelum bertanyakan alamat untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, warga emas itu dihantar pulang ke rumah anaknya yang terletak di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.
“Tindakan anggota pasukan berkenaan perlu dicontohi dan menjadi antara komponen terpenting dalam membuktikan polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE










