KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa satu gagal kerana pelaksanaannya tidak seperti PKP 1.0 dengan .semua sektor sosial dan ekonomi tidak beroperasi.
Walaupun, PKP 3.0 sudah berlangsung sebulan, penularan jangkitan harian Covid-19 terus merekodkan angka sekitar 5,000 kes dan kelmarin lebih 6,000 kes.
Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, pelaksanaan perintah itu tidak dapat memutuskan kitaran penularan sehingga merebak secara drastik dalam komuniti.
“Memang tidak logik jika mengharap kes jangkitan Covid-19 turun sedangkan tempat penularan terutama kilang masih beroperasi. Kena faham, pekerja kilang pulang semula ke perumahan berlainan sekali gus kembali kepada komuniti di sekitarnya.
“Selepas itu virus menular melalui jaringan sosial apabila yang positif akan menjangkiti ahli keluarga lain yang bekerja di tempat lain,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, selagi ada pergerakan walaupun hanya seorang positif Covid-19, selagi itu jangkitan berlaku dan angka jangkitan tidak akan turun seperti pelaksanaan PKP 1.0.
Kata Dr. Sazaly, pelaksanaan PKP harus ketat dan tidak boleh ada sektor ekonomi yang terbukti menyebabkan jangkitan beroperasi.
“Namun disebabkan keperluan ekonomi beroperasi, terpaksalah kita menanggung padah terutama ketika varian baharu sudah ada,” katanya.
Dalam keadaan sekarang, beliau mencadangkan kerajaan menyediakan ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada semua klinik kesihatan awam dan swasta di seluruh negara bagi menjejak penularan dan menanganinya dengan lebih berkesan.
“Kerajaan memberikan banyak pakej bantuan untuk rakyat termasuk yang baru-baru ini. Cuma, selain bantuan, kerajaan boleh membelanjakan sejumlah dana untuk membolehkan semua klinik kesihatan termasuk swasta menyediakan ujian saringan percuma,” katanya.
Pada 14 Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan sektor pengilangan terus merekodkan jumlah jangkitan baharu bagi kluster tempat kerja dengan 95,156 kes melibatkan 639 kluster.
Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Isnin lalu berkata, sektor berkenaan hanya menyumbang kurang 10 peratus kes positif manakala sebahagian besar adalah bersifat sporadik.
Senada dengan Dr. Sazali, Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Adlina Suleiman berkata, kerajaan perlu melaksanakan PKP diperketatkan (PKPD) kepada semua kilang sekali gus menghalang pekerja bergerak keluar kawasan.
“Tidak mengapa kalau tak mahu tutup kilang tetapi mereka perlu pergi kerja dan balik semula ke tempat tinggal berdekatan kilang. Kalau beli barang keperluan, wujudkan ‘mobile retail shop’ atau ‘food truck’ untuk membolehkan mereka mendapatkan makanan dan barang keperluan lain.
“Ini penularan sporadik dan kita sudah tak boleh jejak kerana sudah berada dalam komuniti. Tingkatkan sahaja vaksinasi, beri pendidikan kesihatan kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










