PUTRAJAYA: Acara perbarisan pada 31 Ogos kali ini dijangka menyaksikan penyertaan kecil tanpa ada sebarang persembahan daripada peserta kanak-kanak dan remaja belasan tahun.
Perkara tersebut antara gambaran awal yang diberikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.
“Walaupun pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) belum lulus lagi SOP (prosedur operasi standard), secara umum semua peserta mesti telah lengkap dua dos vaksin Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi ramah mesra secara maya dengan para penerima Dana Kandungan Digital Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

Juga hadir sesi itu ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif agensi tersebut, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Perbarisan Hari Kebangsaan 2021 peringkat nasional akan berlangsung di Dataran Pahlawan Putrajaya seperti tahun lalu, manakala sambutan Hari Malaysia 2021 pula diadakan di Sabah.
“Sekiranya berdasarkan SOP sedia ada, maka peserta acara perbarisan dan persembahan akan hanya disertai golongan dewasa sebab bawah 18 tahun belum divaksin,” jelas Saifuddin.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menambah, kekurangan peserta bukan masalah besar kerana keutamaan kerajaan ketika ini demi kepentingan isu kesihatan rakyat.
Terdahulu, beliau ditanya mengenai keresahan ramai penggiat cereka tidak dapat melakukan kerja-kerja penggambaran disebabkan syarat wajib telah menerima imunisasi sebanyak dua dos.
Kekangan tersebut mengakibatkan banyak produksi perfileman dan drama tempatan gagal mendapat permit beroperasi apabila ramai kru yang belum divaksin atau baru dapat satu dos.
“Jika isu ini, saya berpendapat elok dibawa kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 agar semua petugas produksi mendapat vaksinasi lengkap dua dos dengan segera,” tegasnya.
Beliau malah memberi jaminan akan menyokong permohonan syarikat perfileman atau drama terbabit untuk dipercepatkan proses pemberian vaksin tanpa ada sebarang masalah birokrasi.
Golongan itu jelas Saifuddin, sesuai diletakkan dalam Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang pada masa ini meliputi perkilangan, peruncitan dan pembinaan.
Dianggarkan ketika ini terdapat 9,000 penggiat industri kreatif profesional di seluruh negara selain lebih 40,000 pekerja belakang tabir secara sepenuh masa dalam sektor berkenaan.
Setakat ini hanya lapan negeri berstatus Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara yang dibenarkan penggambaran di luar studio dengan pematuhan SOP ketat bagi mengekang wabak Covid-19.- UTUSAN ONLINE










