BALIK PULAU: Peruntukan berjumlah RM300,000 menerusi Program Bakul Makanan akan digunakan sepenuhnya untuk menjaga kebajikan golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di kawasan Parlimen Pendang.
Ahli Parlimennya, Datuk Awang Hashim berkata, peruntukan berkenaan telah diterimanya kelmarin namun beliau mengambil inisiatif menggunakan peruntukan sendiri sebagai pendahuluan untuk membeli barang keperluan kepada masyarakat.
“Secara kasarnya saya sudah terima peruntukan ini kelmarin dan akan belanjakan semua peruntukan untuk tujuan kebajikan.
“Saya juga sebenarnya telah gunakan peruntukan sendiri sebagai pendahuluan untuk beli barangan keperluan dan kemudian ia diletakkan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk disalurkan kepada mereka yang layak, pada masa ini semua layak terima bantuan,” katanya ketika ditemui di Teluk Bahang, di sini hari ini.
Terdahulu beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menyerahkan peralatan pemulihan dan sumbangan kotak prihatin kepada orang berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Shukor Hassan, 52, yang diserang angin ahmar pada Mac lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas Pemulih memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang sebagai tambahan kepada program bantuan Bakul Makanan sedia ada di bawah Pemulih.
Bantuan itu bagi melaksanakan bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.
Awang berkata, bakul makanan yang telah disediakan itu akan diagihkan oleh pasukan yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti polis; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kepada mereka yang memerlukan di kawasan Parlimen Pendang.
“Pengagihan ini juga akan diselaraskan oleh PKOB memandangkan sekarang adalah tempoh pandemik Covid-19.
“Kita tidak mahu apabila turun ke padang beramai-ramai, kita pula menjadi pencetus kepada kluster Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE










