Perlu rujuk Mahkamah Persekutuan keabsahan Proklamasi Darurat - Utusan Malaysia

Perlu rujuk Mahkamah Persekutuan keabsahan Proklamasi Darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan dan keabsahan yang timbul berhubung Proklamasi Darurat yang sedang berkuatkuasa.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, perkara itu selaras Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkenaan sebarang persoalan berbangkit terhadap isu membabitkan perlembagaan.

Katanya, sejak kebelakangan ini timbul persoalan dan perbincangan dalam kalangan orang ramai termasuk pakar perundangan mengenai keabsahan Proklamasi Darurat oleh kerajaan ketika itu yang didakwa tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, antara persoalan lain adalah adakah Yang di-Pertuan Agong khilaf menerima nasihat Perdana Menteri mengisytiharkan Darurat tanpa persetujuan Parlimen dan adakah Jemaah Menteri mempunyai kuasa eksekutif dalam tempoh darurat dan Parlimen boleh bersidang dalam tempoh tersebut?

“Banyak lagi persoalan lain timbul sebenarnya. Ini adalah antara soalan dikemukakan oleh khalayak awam dan pakar perundangan sama ada dalam kalangan ahli akademik, para peguam, bekas hakim dan Peguam Negara sendiri telah pun mengeluarkan pendapat masing-masing berdasarkan pemahaman mereka sendiri. 

“Bagi mengelakkan kekeliruan yang lebih membarah ini, saya menyarankan agar Yang di-Pertuan Agong merujuk persoalan-persoalan yang dibangkitkan tersebut kepada Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zainul Rijal, dengan rujukan tersebut Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapat yang dirujuk tersebut dalam mahkamah terbuka dan ia akan menjadi keputusan yang mengikat semua pihak. 

“Dengan cara itu semua perbezaan pandangan dapat dilupuskan dan jawapan tuntas diperoleh Mahkamah Persekutuan.

“Walaupun sebelum ini rujukan menurut Perkara 130 ini belum pernah dilaporkan, namun ia tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada membuat rujukan tersebut kerana Perkara 130 ini masih berkuatkuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN