Perlis kemuka cadangan beralih ke Fasa 2 PPN - Utusan Malaysia

Perlis kemuka cadangan beralih ke Fasa 2 PPN

AZLAN MAN (kiri) menyampaikan sumbangan bungkusan makanan dan wang tunai kepada Bahar Che Mat, 49, semasa melawat rumahnya di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kerajaan negeri sekali lagi bakal mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat supaya Perlis beralih kepada sekurang-kurang fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas melihat perkembangan kes Covid-19 di negeri ini semakin menurun.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan Covid-19 esok.

Katanya, kerajaan Pusat sebelum ini telah memberi petunjuk bahawa beberapa negeri termasuk Perlis akan berubah ke fasa tersebut.

“Walaupun negeri ini sudah mencapai kriteria untuk ke fasa tiga pelan pemulihan negara termasuk kurang empat kes daripada setiap 100,000 penduduk, namun kita masih tidak dapat beralih disebabkan oleh tahap vaksinasi penduduk masih kurang. 

“Saya akan bangkitkan lagi perkara tersebut dan kalau tidak boleh ke Fasa 3  maka boleh diambil untuk ke Fasa 2. 

“Kalau untuk Fasa 2 saya yakin ada kemungkinan besar boleh dicapai pada minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah rumah daif yang akan diberikan bantuan baik pulih daripada kerajaan negeri di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis di sini hari ini.

Tambah Azlan, Perlis berdepan kekangan untuk mencapai tahap vaksinasi yang lebih tinggi disebabkan oleh bekalan vaksin sekitar 2,500 hingga 2,700 dos sahaja sehari berbanding kapasiti yang mampu dilaksanakan iaitu 3,500 sehari.

“Jadi kita kekurangan kira-kira 800 dos sehari daripada kapasiti kemampuan. Jika dapat membuat vaksinasi sebanyak 3,500 sehari serta mendapatkan bekalan yang mencukupi, maka menjelang September depan negeri ini boleh mencapai 80 peratus imuniti berkelompok yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sudah mengumumkan Malaysia bakal mendapat dua juta lagi dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang disumbang kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Semoga vaksin ini dapat membantu mengurangkan kekangan bekalan tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN