Peniaga merintih tiada pengecualian sewa kedai - Utusan Malaysia

Peniaga merintih tiada pengecualian sewa kedai

RIATI OMAR (kiri) dan SHAHIDATUL AZIRAH JOHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Walaupun operasi kedai ditutup namun, bayaran sewa masih perlu dibayar sama ada secara penuh mahupun mengikut harga diskaun.

Situasi itu meletakkan peniaga berada dalam keadaan tersepit, terutama peniaga yang bukan dalam kategori perkhidmatan atau barangan perlu.

Riati Omar, 35, berkata, diskaun bayaran sewa yang diberikan pihak pengurusan Gedung Membeli Belah ITCC, Penampang tidak seperti yang dibayangkan oleh penyewa premis sepertinya.

“Kami jangka diberikan diskaun 50 peratus tapi, pengurusan hanya memberikan 30 peratus diskaun. Bukan tidak bersyukur tapi, memandangkan kami masih belum dibenarkan beroperasi jadi, memang terbeban dengan bayaran sewa sebegitu.

“Saya berniaga baju terpakai jadi terpaksa juga mengambil pendekatan lain seperti menjual secara dalam talian bagi menampung kos sewa kedai. Bayaran sewa sahaja RM1,000 sebulan dan selepas diskaun, bayaran masih juga tinggi iaitu RM700.

“Bagaimanapun diskaun itu masih membantu mengurangkan bebanan peniaga kecil-kecilan seperti kami,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Riati, diskaun bayaran sewa kedai itu hanya untuk Jun sahaja. Pada bulan ini belum ada pengesahan sama ada mereka diberikan diskaun atau sebaliknya.

“Keadaan sekarang ini memang sengsara dan tidak berbaloi untuk terus membayar sewa biarpun operasi kedai ditutup,” katanya.

Berkongsi kebimbangan yang sama adalah pengusaha KMC Recipe Beaufort, Shahidatul Azirah Johan,24.

Katanya, pengurangan kadar sewa itu sedikit sebanyak melegakan mereka yang kini beroperasi untuk pembelian secara bawa pulang.

Tambah Shahidatul, pendapatan sekarang memang terjejas jadi, pengurangan kadar sewa walaupun sedikit memang dihargai.

“Tapi, bagi kedai yang masih tidak dibenarkan beroperasi agak membebankan sekiranya mereka masih perlu membayar sewa biarpun pada harga diskaun. Macam mana mereka hendak buat pusingan modal perniagaan jika simpanan yang ada terpaksa digunakan untuk membayar sewa,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN