SABAK BERNAM: Seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai minum racun di hadapan sebuah rumah di Taman Sekinchan Jaya, Sekinchan dekat sini pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu, orang ramai menemui penganggur berusia 63 tahun itu bersama sebotol racun tumbuhan jenama Set-Up sebelum bertindak menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit telah bercerai pada April 2019 dan tinggal berasingan dengan isteri serta tiga orang anak.
Katanya, berdasarkan keterangan awal isteri lelaki terbabit, punca perceraian mereka adalah disebabkan masalah dalaman rumah tangga.
“Selepas tempoh bercerai, lelaki berkenaan tidak mempunyai tempat tinggal dan tidur sebagai gelandangan di sekitar pekan Sekinchan.
“Lelaki terbabit telah dijumpai tidak sedarkan diri bersama sebotol tong racun tumbuhan jenama Set-Up semasa ditemui oleh orang awam yang terus menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, pihak ambulans dari Hospital Tanjong Karang mengesahkan lelaki itu masih bernafas selepas diperiksa.
Ujarnya, doktor yang membuat pemeriksaan terhadapnya mengesahkan tiada kesan kecederaan pada luaran fizikal dan dia dirawat dalam keadaan bernafas dan boleh berkomunikasi dengan baik.
“Keterangan awal lelaki itu mengakui telah meminum racun serangga yang dibelinya kerana berasa tertekan apabila tidak diterima oleh isterinya selepas bercerai.
“Pemeriksaan lanjut hospital telah menjalankan ujian saringan air kencing dan mengesahkan positif dadah jenis syabu manakala ujian darah bagi mengenal pasti kandungan racun mendapati tiada kandungan kimia merbahaya dalam badannya,” ujarnya.
Lelaki berkenaan berada dalam keadaan stabil dan kini ditahan di wad Hospital Tanjung Karang bagi tujuan rawatan.
Kes disiasat dibawah Sek 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri. -UTUSAN ONLINE