Penduduk sediakan dana RM10,000 bantu penduduk lain terjejas - Utusan Malaysia

Penduduk sediakan dana RM10,000 bantu penduduk lain terjejas

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Permatang Duku yang menerima sumbangan melalui program Titipan Kasih bagi membantu golongan terjejas Covid-19, di Benut, Pontian, di Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Menyedari orang pertama yang perlu menghulurkan pertolongan sekiranya diperlukan jiran menjadi pemangkin kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan (5) Mukim Benut mengambil inisiatif sendiri untuk membantu.

Inisiatif itu melalui langkah jawatankuasa tersebut yang mewujudkan tabung kecemasan bagi memastikan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Permatang Duku, di sini terbela dari segi kebajikan semasa mereka mengharungi pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurut Pengerusi JPKK kawasan itu, Abd. Hamid Amin, pihaknya kini menyediakan dana sebanyak RM10,000 melalui sumbangan yang dikumpul untuk program yang dinamakan Titipan Kasih khusus membantu penduduk di situ.

Katanya, sumbangan diterima daripada pelbagai pihak seperti JPKK sendiri yang berjumlah RM2,000, Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Permatang Duku pula RM2,500 dan RM2,000 lagi menerusi Tabung Kebajikan Kampung serta selebihnya daripada individu dan korporat.

“Kami menyedari ada dalam kalangan penduduk yang kehilangan pekerjaan mahu pun sumber pendapatan, jadi dana yang dikumpulkan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka.

“Kami terpanggil berkongsi kesusahan itu, malah setakat ini sudah dikenal pasti 80 keluarga yang memerlukan bantuan terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, sakit berlarutan, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abd. Hamid berkata, bilangan itu akan ditambah dari masa ke semasa supaya semua penduduk di kampung tersebut dapat menjalani kehidupan seperti biasa tanpa ada yang terpaksa ‘mengikat perut.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas juga telah dibentuk bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan dan bertindak menyalurkan bantuan pada bila-bila masa supaya tiada pihak yang  tercicir.

“Kami memahami dan prihatin dengan mereka yang berhadapan dengan masalah termasuk hilang pekerjaan mahupun tidak dapat meneruskan aktiviti ekonomi seperti biasa seperti berniaga dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Salleh Samin, 59, berkata, dia menyambut baik program sumbangan bakul makanan itu bagi meringankan beban kewangan yang dialaminya kesan daripada kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Katanya, disebabkan kemalangan itu menyebabkan dia tidak dapat melakukan kerja berat dan hanya melakukan kerja-kerja ringan sahaja bagi mencari pendapatan menyara empat ahli keluarganya.

“Terima kasih kami ucapkan atas sumbangan ini yang akan kami digunakan untuk kegunaan harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan barangan keperluan lain,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya