Penduduk empat taman di Ayer Keroh rayu batal PKPD - Utusan Malaysia

Penduduk empat taman di Ayer Keroh rayu batal PKPD

ISMAIL OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk di empat taman perumahan sekitar Ayer Keroh di sini merayu supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) melihat semula cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh, Ismail Othman berkata, penduduk meminta MKN tidak melaksanakan PKPD kerana individu yang positif Covid-19 kesemuanya adalah pekerja kilang berhampiran.

Katanya, ini berikutan 51 warga asing yang bekerja di kilang berkenaan telah disahkan positif baru-baru ini.

Ujarnya, mereka merupakan antara 79 pekerja warga asing iaitu 16 dari Nepal dan Bangladesh (63) yang dibawa dari Kuala Lumpur untuk bekerja di kilang itu.

“Kenapa kami seluruh penduduk di sini menjadi mangsa. Mereka yang positif Covid-19 adalah kesemua pekerja asing. Kami selama ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh.

“Sepatutnya pekerja kilang ini dibawa keluar dari taman ini bagi mengelak daripada wabak ini menular ke tempat lain.

“Setakat ini, tidak ada penduduk di sini yang positif Covid-19, justeru, saya berharap MKN dapat membuat pertimbangan wajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MKN bercadang untuk mengenakan PKPD di Taman Muzaffar Shah, Taman Muzaffar Height, Taman Takh dan Taman Ayer Keroh Height yang dijangka bermula Rabu ini sehingga 20 Julai.

Tambah Ismail, beliau menerima banyak panggilan telefon daripada penduduk sekitar yang merayu agar MKN dan kerajaan negeri untuk mengambil pertimbangan sewajarnya.

Menurutnya, surat rayuan telah dihantar kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, semalam.

“Saya menggesa kilang tersebut ditutup buat sementara waktu dan seluruh pekerja warga asing berjumlah hampir 4,000 orang diasingkan atau dikuarantin di lokasi lain,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN