LANGKAWI: Kebanyakan penduduk di penempatan haram Bukit Malut di sini, masih ‘takut’ untuk keluar melakukan saringan Covid-19 sehingga lokaliti tersebut terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) hingga 9 Ogos ini.
Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr. Mansor Ismail berkata, walaupun kakitangannya melakukan hebahan secara bergerak meminta mereka yang bergejala keluar melakukan saringan, jumlah penduduk berbuat demikian tidak ramai.
Kata beliau, pihaknya menyasarkan seramai 200 penduduk melakukan saringan pada setiap hari dalam tempoh dua minggu bermula semalam.
Katanya, jumlah keseluruhan penduduk di penempatan tersebut yang mempunyai dokumen pengenalan dianggarkan kira-kira 5,000 orang.
“Mereka nampak takut-takut lagi dan yang keluar melakukan saringan itu adalah yang bergejala teruk sahaja.
“Nampaknya sasaran kita (Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi) sekurang-kurangnya 200 orang semalam tak sampailah,” katanya ketika ditemui di Pusat kawalan Operasi Bencana PKPD Bukit Malut di sini semalam.
Bagaimanapun, Dr. Mansor memberitahu, pihaknya masih mengharapkan lebih ramai penduduk tampil melakukan saringan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di lokaliti itu.
Menurutnya, setakat ini, jumlah penduduk yang disahkan positif Covid-19 di pulau peranginan ini dianggarkan 250 orang dan lebih separuh daripada jumlah tersebut dari Bukit Malut yang berjumlah 125 orang.
“Biar kita dapat tahu awal supaya dapat beri rawatan segera dan kenal pasti yang berisiko,” katanya. – UTUSAN ONLINE