PUTRAJAYA: Hampir lapan juta penduduk di lima negeri yang akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin ini bakal menikmati kehidupan normal secara terhad.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk hobi memancing dan bermain golf selain bisnes gunting rambut di kedai yang sebelum itu dilarang.
“Ia seumpama sebagai reward (ganjaran) kerana kesungguhan rakyat di negeri yang terlibat bersama-sama pihak kerajaan negeri masing-masing memerangi wabak Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar khas bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, di sini hari ini.
Tiga negeri terbabit terletak di Wilayah Pantai Timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala dua lagi pula di Wilayah Utara Semenanjung iaitu Perak dan Perlis.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu mengumumkan pelaksanaan PPN sebagai strategi peralihan keluar menerusi empat fasa daripada krisis wabak Covid-19.
Pendekatan secara berperingkat itu bermula dengan Fasa 1 pada 29 Jun lepas dengan tiga indikator utama sebagai nilai ambang sebelum boleh berpindah kepada fasa yang berikutnya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sektor perdagangan dan pengedaran dibuka ialah kedai buku, alat tulis, komputer, telekomunikasi, barangan elektrik, cuci kereta dan gunting rambut.
“Begitu juga pasar tani dan pagi dibenarkan dari pukul 7 pagi hingga 10 pagi namun dihadkan cuma komoditi utama iaitu sayur, buah, runcit, ayam proses, makanan laut dan daging,” jelasnya.
Bagaimanapun ujarnya, operasi pasar minggu, malam dan tamu masih lagi tidak dibolehkan manakala sektor dibenarkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Kapasiti pekerja sektor swasta dalam perkhidmatan perlu juga dinaikkan kepada 80 peratus tetapi majikan diingatkan memastikan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP setiap masa.
Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu tanpa sentuhan dengan jarak minimum dua hingga tiga meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri juga dibenarkan.
Ini tambah beliau, meliputi joging, senaman, taici, berbasikal, papan selaju, memancing, memanah, mendaki, ekuestrian, tenis perseorangan, golf, permotoran dan yang seumpamanya.
“Berhubung aktiviti keagamaan bagi Fasa 2, ia tertakluk SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri terlibat yang akan menentukan garis panduan masing-masing,” kata beliau.
Ia termasuk jumlah had jemaah solat fardu di masjid dan surau, pernikahan pasangan, ibadah korban ternakan semasa Hari Raya Aidiladha, kegiatan ceramah agama dan sebagainya.- UTUSAN ONLINE