Pencemaran berlaku lagi di Sungai Kim Kim - Utusan Malaysia

Pencemaran berlaku lagi di Sungai Kim Kim

KEADAAN air Sungai Kim Kim yang didapati berlaku pencemaran dipercayai akibat pelepasan air sisa dari premis bukan industri di Pasir Gudang, Johor. -IHSAN JAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang terkenal dengan insiden pencemaran sebelum ini sekali lagi menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk berhampiran apabila mendapati air berwarna hitam serta bau busuk dalam kejadian kelmarin.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan berkata, pasukan dari Unit Penguatkuasa Industri JAS telah bergegas ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim untuk menjalankan siasatan susulan aduan awam berkenaan pencemaran sungai pada pukul 10 malam.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati air sungai berwarna hitam dan terdapat bau busuk dikesan seperti mana aduan yang diterima.

Tambahnya, pasukan itu telah mendapatkan butiran maklumat kejadian daripada penduduk sekitar untuk memperkemaskan siasatan.

“Keesokan harinya, pasukan JAS dari cawangan Pasir Gudang telah menyusuri sekitar kawasan Sungai Kim Kim dan pemantauan melalui dron dijalankan bagi mengenal pasti punca yang boleh disyaki menyebabkan pencemaran tersebut.

“Pengukuran kualiti air sungai juga telah dijalankan oleh Unit Pengawasan JAS Johor di beberapa lokasi di sepanjang sungai tersebut dan siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa dari premis bukan industri,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan siasatan lanjut, didapati premis tersebut sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran.

Tambahnya, persampelan telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Premis diminta menjalankan langkah pembaikan segera dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.

“Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke [email protected] atau ke portal aduan https://[email protected],” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN