PETALING JAYA: Pembangkang mendesak supaya usul tergempar yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan pada sidang khas Parlimen, Isnin ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata usul itu dibuat selepas mendapati kerajaan membatalkan proklamasi darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, malah melanggar hasrat baginda yang menitahkan supaya isu darurat diungkaikan di Parlimen sehingga sanggup menangguhkan persidangan dengan alasan penularan Covid-19.
Katanya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana banyak lagi perkara yang perlu dibahaskan terutamanya proklamasi darurat.
“Mereka seolah-olah mensabotaj Parlimen, empat kali sidang ditangguhkan, ingat ini permainan masak-masak ke? Ini soal kepentingan negara melibatkan isu Covid-19 dan ekonomi tetapi hakikatnya ini hanyalah pergelutan untuk terus kekal berkuasa, ini akan menyebabkan ramai hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan.
“Kami berharap sidang Parlimen diteruskan, Speaker sudah berjanji untuk meneruskannya, tetapi kita harap mereka akan kotakannya,” katanya.
Justeru, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, usul yang dikemukakan oleh Anwar iaitu melucutkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan terus diperjuangkan Isnin ini.
“Usul tergempar Ketua Pembangkang ini melibatkan ordinan darurat yang pembatalannya adalah satu pelanggaran titah Yang di-Pertuan Agong, jadi kita akan tetap perjuangkannya walaupun sidang Parlimen tinggal satu hari lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa kerajaan tidak menggunakan sebarang helah untuk mengelakkan daripada isu pembatalan proklamasi darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.
“Seribu satu helah untuk mereka tangguhkan persidangan. Sekarang tinggal satu hari, itu pun kita tak tahu sama ada akan diteruskan. Saya kesal, ramai yang bersekongkol untuk memastikan sidang Parlimen ditangguhkan dan melindungi penderhaka.
“Usul undi tidak percaya telah pun dikemukakan oleh Ketua Pembangkang pada Khamis, pukul 3.15 petang, malah kami mahu Speaker meletakkan jawatan kerana sudah hilang wibawa dan tidak layak memegang jawatan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










