KUALA LUMPUR: Parti-parti politik kerajaan dan pembangkang mengakui pengundi muda seramai 5.94 juta di negara ini mampu menentukan siapa kerajaan yang boleh mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman, untuk merealisasikan hasrat itu, kelayakan mengundi pada PRU-15 pada usia 18 tahun mesti berkuatkuasa.
Katanya, hak untuk mengundi seawal usia itu tidak boleh dipertikaikan kerana sifat golongan muda sukar dijangka, bergantung kepada emosi dalam membuat keputusan selain menjadi penentu kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan.
“Selaku parti yang mendukung anak muda, Warisan percaya kepada aspek ‘perkhidmatan’ iaitu bekerja untuk rakyat tanpa mengira apakah status dan latar belakang mereka.
“Warisan hanya mahu membina negara bangsa bersifat menyeluruh dan mampu menarik sokongan golongan ini. Dalam parti pun sudah memberikan banyak peluang agar kepimpinan mereka terserlah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Akif Rusli pula berkata, dengan mengetengahkan lebih ramai golongan muda, ini sekali gus dapat memperbaiki sistem pentadbiran negara yang sudah rosak akibat kleptokrasi dan rasuah.
Justeru, katanya, Pejuang komited turun padang bagi mendekati golongan itu terutama kalangan mahasiswa, menyedari hakikat semangat perjuangan mereka lebih agresif.
“Penekanan terhadap mereka ini tidak bermaksud hak orang lama dinafikan sebaliknya, kedua-dua kelompok amat diperlukan untuk pembentukan negara yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, dengan jentera dalam Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Pas diyakini dapat mendekatkan lagi parti itu dengan golongan muda di samping meraih undi terbesar pada pilihan raya.
Ditanya soal tindakan sesetengah golongan muda yang menolak kerajaan akibat kegagalan dalam menguruskan negara dan pandemik Covid-19, kata Idris, itu perkara biasa namun tidak seharusnya menjadi ukuran kemampuan negara.
“Insya-Allah, Pas yakin mereka akan memberikan sokongan ditambah dengan sifat mereka yang peka dengan penggunaan media sosial. Pas juga mengetengahkan calon-calon yang berkebolehan pada PRU-15 nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










