PETALING JAYA: Selaras dengan pelaksanaan undi 18 tahun (Undi18) yang diluluskan, parti-parti politik dijangka berlumba mengetengahkan calon muda masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi `memikat’ kumpulan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, situasi tersebut adalah perkembangan positif selepas kerajaan berjaya melaksanakan Undi18 menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2019.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, Undi18 secara tidak langsung telah memberi ruang seluas-luasnya kepada anak muda untuk menyuarakan hasrat dan hak mereka dalam negara demokrasi.
“Generasi muda lebih melihat kepada isu-isu semasa berbanding ketaksuban berpolitik kerana bagi mereka penyelesaian masalah negara lebih utama berbanding merebut kuasa.
“Pengundi muda tidak minat rebut kuasa kerana golongan ini lebih minat kepada politik memberi perkhidmatan seperti contoh ketika ini mereka lebih minat melihat kepada pihak yang ikhlas menangani isu dan kesan pandemik Covid-19,” kata pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu
Bagi Muda sendiri, Syed Saddiq memberitahu, panubuhannya tidak mengejar PRU-15 kerana mereka terlalu fokus untuk sama-sama memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat terkesan akibat Covid-19.
Dalam pada itu katanya, walaupun Muda belum diluluskan pendaftaran dan baharu ditubuhkan tetapi sehingga kini Muda telah menerima 60,000 penyokong yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan identiti.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Undi18, Qyira Yusri berkata, pengundi muda cenderung mengundi berdasarkan langkah penyelesaian polisi awam dan bukannya sama ada dari segi calon atau parti.
Menurut beliau, isu-isu tercetus ketika pandemik seperti aspek ekonomi, pendidikan dan pekerjaaan bakal menjadi fokus golongan muda dalam memilih calon pilihan raya yang diyakini dapat mengetengahkan perkara berkenaan dalam manifesto masing-masing.
“Malah soal doktor kontrak dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PPdR) yang disambung sehingga Ogos ini serta Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak inklusif untuk anak belia juga bakal menarik perhatian anak muda dalam manifesto pilihan raya akan datang.
“Jadi lensa yang dipakai pengundi muda untuk pilihan raya umum adalah berpaksikan polisi dasar yang akan memberi impak terus kepada golongan belia,” katanya. – UTUSAN ONLINE










