MB Inc. peruntuk RM5 juta untuk CSR - Utusan Malaysia

MB Inc. peruntuk RM5 juta untuk CSR

ANUAR Zainal Abidin (kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan 50 kotak makanan kepada Sayed Hesyam Idris di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) memperuntukkan RM5 juta untuk menggerakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bantuan berupa kotak makanan kepada komuniti, pengecualian bayaran sewa kepada operator, pendidikan dan kesihatan itu telah bermula sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, bantuan turut melibatkan sumbangan 100 komputer riba terpakai membabitkan peruntukan hampir RM60,000.

Katanya, komputer riba itu diagihkan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi membantu mereka mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Selain itu, MB Inc. juga telah memberi kelonggaran dari segi sewaan selama enam bulan kepada pengusaha dan penyewa di bawah perbadanan ini.

“Kita juga membantu menyediakan perkhidmatan sanitasi secara percuma kepada masjid-masjid terpilih selain mengagihkan pek penjagaan diri seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada komuniti setempat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan 50 kotak makanan dan wang tunai kepada petugas media di Perak yang diwakili Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd. Hesyam Syed Idris.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak melupakan jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang bertungkus lumus berusaha menangani penularan Covid-19.

Katanya, sumbangan berupa kanopi telah disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk digunakan di beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR).

“Selain itu, kita turut menyediakan minuman dan makanan siap dimasak kepada petugas di SJR sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, kesemua program itu dilakukan berterusan di mana ia turut dijalankan dengan kerjasama agensi lain termasuk Yayasan Bina Upaya (YBU).

“Kerjasama dengan YBU adalah melalui Kedai Bergerak Negeri Perak. Inisiatif itu berupa perkhidmatan lori membawa barangan kering dan basah untuk keperluan rakyat yang berada jauh dari kawasan bandar pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.