BATU GAJAH: Masalah lalat berpunca daripada ladang ternakan ayam berhampiran yang dialami penduduk Taman Chenderong Jaya di sini seperti tiada kesudahan walaupun pelbagai aduan mengenainya telah dibuat.
Seorang penduduk, Mior Nazhar Mohd. Aris, 40, berkata, dia sudah tidak tahan berdepan masalah itu yang berlaku setiap tiga bulan hingga terpaksa membawa ahli keluarga ke rumah emaknya.
Katanya, masalah lalat berlaku antara 10 hingga 15 hari setiap tiga bulan sehingga menjejaskan kehidupan sehariannya dan keluarganya.
“Setiap hari saya perlu pasang 20 keping perangkap lalat malah jika nak makan saya perlu makan depan kipas besar untuk pastikan tiada lalat.
“Itu belum lagi bila nak memasak, kalau menggoreng ikan, belum pun masukkan ikan, lalat sudah masuk dalam minyak panas, ia benar-benar menyusahkan kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, kerana masalah lalat, dia terpaksa membawa isteri dan anak bongsunya yang berusia dua bulan ke rumah emaknya di daerah ini.
Katanya, masalah itu tidak hanya berlaku pada waktu siang tetapi juga pada malam.
“Ini menyebabkan nak tidur, makan, bersantai dengan anak-anak pun tidak boleh,” katanya.
Mior Nazhar percaya masalah itu berpunca dari ladang ternakan ayam berhampiran kerana masalah sama dihadapi kampung-kampung berdekatan.
Katanya, masalah itu pernah mendapat liputan media namun ia tidak diselesaikan.
Sementara itu, pesara kerajaan, Saiful Kamil Sulaiman, 48, berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi masalah itu namun tidak berkesan.
“Kami sudah cuba menggunakan air serai wangi, lada hitam kisar yang ditabur atas meja tapi masalah tidak berkurang,” katanya. -UTUSAN ONLINE









