KOTA BHARU: Selepas menempuh kekangan pergerakan dan sekatan ekonomi berpanjangan susulan jangkitan Covid-19 yang belum reda, kantung rakyat Kelantan boleh disifatkan makin susut.
Mereka yang rata-ratanya bekerja sendiri dan mencari upah, hilang sebahagian atau seluruh punca rezek sekelip mata, sekali gus mencetuskan fenomena ‘orang miskin baharu’ atau OMB.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ihsan (Ihsan), Wan Muhammad Naif Wan Mohd. berkata, belum sempat rakyat bangkit semula selepas menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banjir hujung tahun lalu, mereka diuji lagi tahun ini.
“Setakat ini Kelantan paling lama berdepan PKP berbanding negeri lain. Selepas PKP, Bazar Ramadan dibatalkan dan dilarang berniaga di tepi jalan pula. Kemudian pelaksanaan PKP sekali lagi sebelum diketatkan menjadi total lockdown yang berlanjutan sehingga kini.
“Lambakan OMB bertambah serius apabila golongan bekerja sendiri atau berniaga kecil-kecilan terpaksa pula memberhentikan pekerja yang selama ini bergantung kepada duit upah diterima untuk menanggung keluarga masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata Wan Muhammad Naif, Ihsan yang mula aktif membela nasib golongan miskin sejak 2019 kini ‘tidak menang tangan’ menerima permohonan bantuan sama ada dalam bentuk makanan atau barang dapur yang dikemukakan OMB.
“Dalam keadaan sekarang, ramai yang sudah sebulan, dua bulan atau berbulan-bulan tidak ada gaji, namun tercicir daripada menerima bantuan hanya kerana dulu dianggap mempunyai pendapatan sendiri.
“Kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) seperti kamilah tempat golongan OMB mengadu nasib,” katanya.
Sementara itu, peniaga cenderamata dari Wakaf Bharu mahu dikenali sebagai Pok Nik berkata, dia bersyukur menerima bantuan barangan dapur diagihkan Ihsan ketika kesempitan selepas lebih dua bulan tiada pendapatan kerana tidak dibenarkan berniaga.
Kata lelaki berusia 36 tahun itu, keluarganya selama ini hidup ‘sederhana’ dan tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana agensi-agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat zakat mahupun pejabat wakil rakyat.
“Sekarang kami berjimat cermat dan hidup dengan wang simpanan. Apabila sudah habis, terpaksalah tebalkan muka meminjam wang saudara mara selain cuba mohon bantuan kerajaan negeri.
“Tetapi tidak lulus dengan alasan kami duduk rumah batu. Habis takkanlah nak tunggu rumah saya roboh dulu baru nak bantu? Lebih kecewa lagi, semasa sukarelawan YB masuk kampung agihkan barang dapur, mereka tinggalkan rumah saya dan hanya beri kepada jiran,” keluhnya. – UTUSAN ONLINE










