Majoriti setuju sokong PN hingga Parlimen bubar - Utusan Malaysia

Majoriti setuju sokong PN hingga Parlimen bubar

Majoriti MT UMNO setuju sokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majoriti ahli Parlimen UMNO menyatakan komitmen untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Perkara itu dipersetujui dalam satu pertemuan bersama mereka untuk mempertahankan resolusi yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO lalu iaitu parti tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) apabila Parlimen dibubarkan.

Menurut sumber kepada Mingguan Malaysia, ahli-ahli Parlimen UMNO turut bersetuju bahawa sebarang keputusan selain daripada apa yang diputuskan semasa perhimpunan itu tidak akan terpakai.

“Ya saya boleh sahkan perkara ini (pertemuan dan sokongan ahli Parlimen UMNO kepada PN),” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan UMNO Pusat sedang memanggil ahli Parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama meninggalkan kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

Sumber parti itu memberitahu, lebih 10 ahli Parlimen yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipanggil menemui Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat UMNO.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut menegaskan, sebarang keputusan yang dibuat oleh MT UMNO tidak boleh mengatasi keputusan Perhimpunan Agung UMNO.

Jelas beliau, perhimpunan itu adalah badan tertinggi parti, justeru jika MT mahu mengubah keputusan tersebut, maka satu perhimpunan khas perlu dipanggil untuk membuat keputusan baharu.

Mohamed Nazri turut mengakui beliau tidak pernah dipanggil untuk berbincang tentang penarikan sokongan terhadap PN.

Penegasan itu turut senada dengan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan menyatakan bahawa MT tidak boleh melangkaui keputusan yang diputuskan Perhimpunan Agung UMNO termasuk ‘No Anwar, No DAP’ yang menjadi usul pada Perhimpunan Agung UMNO. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN