JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mendakwa menerima aduan daripada kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang memaklumkan aset MBJB digunakan untuk mempromosikan program anjuran Barisan Nasional (BN).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat itu memberitahu, sebilangan kakitangan MBJB kurang selesa apabila seorang pemimpin kanan UMNO Johor Bahru berbuat demikian.
Beliau dalam satu kenyataan di laman Facebooknya memberitahu, jika mana-mana pihak hendak menggantung bendera parti, gantunglah di kereta sendiri.
“Saya menerima aduan ini daripada kakitangan MBJB sendiri. Malunya. Mereka kurang selesa apabila pemimpin kanan UMNO Johor Bahru menggunakan jentera kenderaan MBJB sambil mempromosikan BN.
“Kita tiada masalah untuk individu tersebut menghantar sumbangan, nak gantung bendera gantunglah di kenderaan kamu. Tetapi jangan salah guna aset kerajaan, jangan merendahkan martabat penjawat awam, bukan semua yang berkhidmat sokong politik kamu,” katanya dalam kenyataan itu.
Hari ini tular di media sosial beberapa keping gambar memaparkan seorang pemimpin politik BN mengadakan program sumbangan barangan keperluan menggunakan lori milik MBJB dengan turut memaparkan bendera BN.
Tambah Akmal Nasrullah lagi, sekiranya kejadian tersebut berulang pada masa depan, pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.
“Ini adalah sekadar peringatan. Jika berdegil dan perkara ini berulang, kita tidak akan teragak-agak untuk buat aduan rasmi kepada pihak Datuk Bandar. Tidak kiralah kamu Ketua Whip ke, Ahli Majlis ke, hormatilah kakitangan kerajaan dan jagalah integriti perkhidmatan awam,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar mengakui kesilapannya kerana menggunakan aset milik MBJB dan memaparkan bendera BN dalam program anjuran pihaknya.
Beliau berkata, pihaknya meminta bantuan MBJB untuk membawa barangan sumbangan kerana ia melibatkan jumlah yang besar.
“Untuk pengetahuan, barangan untuk edaran kepada yang memerlukan bagi kali ini sangat banyak dan ianya diluar kapasiti kenderaan saya dan pasukan. Jadi, saya meminta MBJB untuk bantu membawa barangan tersebut. Jika baju BN saya dan lori MBJB menjadi isu, saya minta maaf sangat.
“I know that’s ethically wrong, Insya-Allah saya akan perbetulkan selepas ini,” katanya yang berharap perkara itu tidak terus dipanjangkan kerana usaha membantu rakyat yang berdepan kesukaran ketika ini adalah lebih utama.- UTUSAN ONLINE