PETALING JAYA : Keterangan beberapa saksi telah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu penambahan slot janji temu vaksinasi COVID-19 di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, satu laporan polis dibuat oleh seorang petugas di PPV di sekitar Kuala Lumpur yang mendakwa wujud lebihan penerima yang disenaraikan di PPV berkenaan di dalam sistem MySejahtera.
Kata beliau, jumlah terbabit berlebihan berbanding vaksin yang diperuntukan kepada PPV berkenaan.
“Siasatan berhubung perkara itu masih di peringkat awal dan dilakukan di bawah Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997.
“Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan isu ini,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Kamarudin, selaras dengan usaha memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya direalisasikan, orang ramai dinasihati sentiasa memberi sokongan penuh kepada puhak kerajaan.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk mensabotaj program yang sedang dijalankan,” jelasnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan terdapat individu memanipulasi Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) dan aplikasi MySejahtera untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah.
Modus operandi mereka adalah dengan menyamar sebagai ‘orang tengah’ bagi mendapatkan slot janji temu vaksinasi dengan kadar bayaran tertentu.
Walhal melalui program ini, pihak kerajaan negeri akan membuka tawaran tersebut kepada orang ramai untuk mendapatkan vaksinasi dengan bayaran RM380.-UTUSAN










